Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Djokovic raih kemenangan pertama sejak diusir

    DUBAI, 22 FEB – Novak Djokovic kembali dengan kejayaan dalam jelajah buat kali pertama sejak diusir dari Australia, memulakan kempennya pada 2022 dengan kemenangan 6-3, 6-3 ke atas remaja Itali, Lorenzo Musetti di Dubai kelmarin.

    Pemain nombor satu dunia dari Serbia itu disambut sorakan kuat di Stadium Tenis Bebas Cukai Dubai yang penuh sesak ketika dia memulakan cabaran untuk kejuaraan keenam di Emirates dengan penuh bergaya.

    “Saya tidak mengharapkan sambutan yang lebih baik. Sudah lama sejak saya bermain perlawanan terakhir, saya tidak dapat memilih tempat yang lebih baik untuk memulakan musim ini,” kata Djokovic.

    “Pengalaman terbaik malam ini, terima kasih banyak atas sokongan awda dan mengalu-alukan saya di gelanggang seperti yang awda lakukan,” tambah Djokovic di gelanggang sambil laungan ‘Nole, Nole’ bergema di seluruh arena.

    “Secara keseluruhannya ia adalah kemenangan straight set. Saya perlu berpuas hati dengan permainan saya, terutamanya selepas tidak bermain selama hampir tiga bulan.”

    Harapan pemain berusia 34 tahun itu untuk memenangi Terbuka Australia ke-10, dan Grand Slam ke-21, di Melbourne bulan lalu musnah apabila visanya dibatalkan dan dihantar pulang kerana tidak diberi vaksin COVID-19.

    Djokovic boleh bermain di Dubai kerana vaksin COVID-19 bukan keperluan untuk memasuki Emiriah Arab Bersatu.

    Kemenangan Djokovic ke atas Musetti yang berusia 19 tahun adalah perlawanan kompetitif pertamanya sejak Pusingan Akhir Piala Davis di Madrid Disember lalu. – AFP

    Aksi Novak Djokovic mengembalikan bola kepada Lorenzo Musetti dalam perlawanan Kejohanan ATP Terbuka Dubai kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...