Djokovic rancang sertai dua kejohanan

VISOKO, BOSNIA & HERZEGOVINA, 16 OKT – Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic kelmarin berkata bahawa dia merancang untuk bermain dalam dua lagi kejohanan sehingga penghujung musim ini – di Vienna dan London – dan berusaha untuk mengekalkan kedudukannya selaku pemain ranking teratas ATP.

“Saya akan bermain di kejohanan Vienna yang pada mulanya tidak berada di dalam perancangan saya,” beritahu Djokovic kepada AFP.

Dia bercakap demikian semasa berada di luar gelanggang ketika mengadakan lawatan ke pusat pemulihan di Bosnia untuk berehat selepas kekalahan final Terbuka Perancis pada Ahad lalu di tangan Rafael Nadal.

“Saya tidak bermain di Vienna selama 15 tahun jadi saya sangat gembira mengenainya,” tambah Djokovic.

Pemain Serbia berusia 33 tahun itu turut berkata bahawa kejohanan London Masters, yang bermula pada 15 November, akan menjadi kejohanan kedua dan yang terakhir disertainya bagi baki musim ini.

Aksi Novak Djokovic semasa final Terbuka Perancis. Djokovic merancang untuk menyertai dua lagi kejohanan sehingga penghujung musim ini.- AP

“Musim ini, yang mana sangat singkat, berbeza dan aneh, pada masa yang sama memberikan saya banyak kejayaan dan saya sangat berpuas hati dengan cara saya bermain, mata yang diperolehi dan kedudukan ranking.

“Saya berharap, selepas musim yang berbaki sebulan setengah, saya akan menamatkan di kedudukan nombor satu dunia. Itu matlamat saya dan saya akan bekerja keras untuk mendapatkannya. Terpulang kepada saya,” tambahnya.

Menduduki di kedudukan teratas ranking ATP sejak 3 Februari, Djokovic mendahului 1,890 mata di hadapan Nadal dalam senarai ATP.

Selepas kekalahan dalam kesemua set di Paris, pemain Serbia itu telah pergi ke Bosnia bersama isterinya untuk berehat.

“Saya bermain terlalu banyak perlawanan dalam dua bulan setengah ini. Saya tidak dapat keluar rumah disebabkan oleh sekatan dan peraturan pandemik koronavirus dan ia sangat meletihkan saya dari segi mental,” kata pemenang Grand Slam 17 kali itu.

“Ini adalah tiga hari terakhir saya di sini dan saya merasa segar dan bertenaga”. – AFP