VISOKO, BOSNIA DAN HERZEGOVINA, 14 JULAI – Juara Wimbledon yang baru dinobatkan, Novak Djokovic kelmarin merasmikan gelanggang tenis di ‘taman piramid’ di Bosnia yang kerap dikunjunginya untuk ‘mengembalikan semula’ tenaganya.
Pemain bintang tenis itu, yang terkenal dengan minatnya dalam bidang kerohanian zaman moden, menggemari pekan bukit Visoko, di mana beribu-ribu orang berduyun-duyun berkunjung ke sana pada setiap tahun.
Sesetengah orang mempercayai bahawa tapak tersebut merupakan piramid kompleks buatan manusia purba yang mempunyai kuasa penyembuhan. Walau bagaimanapun, dakwaan itu ditolak oleh ahli sains.
Pemain Serbia berusia 35 tahun yang meraih gelaran Grand Slam ke-21nya pada Ahad lalu itu, melawat tapak berkenaan buat kali pertama pada 2020 dan menggelarnya sebagai ‘syurga di bumi’.
Dia telah kembali ke kompleks ‘Bosnia Pyramid of the Sun’ sekurang-kurangnya empat kali, sama ada bersendirian ataupun bersama keluarganya.
Setiap lawatannya akan sentiasa disambut mesra oleh pengasas tapak, Semir Osmanagic.
Menurut Osmanagic yang juga seorang ahli perniagaan Bosnia dan ahli arkeologi, idea untuk membina ‘pusat latihan serantau’ yang dilengkapi dengan dua gelanggang itu telah mula dicadangkan semasa lawatan terakhir Djokovic pada Mac lalu.
“Ini merupakan hari istimewa bagi Visoko, Bosnia, seluruh wilayah, tenis dan sukan”, kata Djokovic selepas tiba di gelanggang baharu tersebut.
“Mesej pada hari ini ialah tentang keamanan, sukan, masa hadapan dan kesihatan”, tambahnya ketika beberapa ratus orang peminat menyambutnya dengan tepukan gemuruh. – AFP