Friday, January 17, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Djokovic: Saya bukan pilihan utama

    LONDON, 22 Jun – Novak Djokovic mungkin memenangi Wimbledon sebanyak tiga kali, tetapi bekas pemain nombor satu dunia itu menegaskan yang dia bukanlah seorang daripada pemain pilihan bagi dimahkotakan pemenang di All England Club tahun ini.

    Djokovic menggandakan persediaan ke Wimbledon dengan memenangi pusingan suku akhir di Queen Club apabila menewaskan Grigor Dimitrov 6-4, 6-1.

    Pemain berumur 31 tahun itu memerlukan hanya 65 minit untuk membenam pemain nombor lima dunia itu

    dan dijadual bertemu Adrian Mannarino atau Julien Benneteau dalam pusingan lapan terakhir selepas mencatatkan kemenangan ke-799 dalam kariernya.

    Ia adalah kejayaan pertama Djokovic dalam perlawanan bertemu 10 pemain teratas dunia dalam tempoh setahun dan mempamerkan persembahan mengagumkan, sekali gus memberi petanda yang dia berada di landasan tepat untuk bermain di Queen buat kali pertama sejak tahun 2010.

    Aksi Djokovic ketika menentang Grigor semasa perlawanan pusingan kedua mereka di kejohanan tenis ATP Queen’s Club Championships di London, kelmarin. – AFP

    Tetapi Djokovic tidak percaya yang dia perlu menjangkakan pertemuan menentang juara bertahan, Roger Federer di Wimbledon pada bulan depan.

    “Lebih baik tak perlu memikir terlalu ke hadapan. Saya sudah pasti bukanlah pemain pilihan bagi Wimbledon,” katanya.

    “Jelas sekali Roger masih pemain pilihan. (Rafael) Nadal mungkin tidak bermain dengan baik di Wimbledon berdasarkan tahapnya, tetapi dia memenanginya beberapa kali. Pastinya dia adalah antara calon untuk merangkul gelaran.

    “Andy (Murray) dan saya sendiri jika kami bermain baik (boleh menjadi pesaing). Ranking kami menurun tetapi Andy bermain dengan baik menentang Nick Kyrgios di sini.”

    Djokovic kini berada di ranking terendah apabila berada di kedudukan 22 ATP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda