Djokovic sedia bermain di Roland Garros

PARIS, 29 SEPT – Novak Djokovic yang memulakan perjalanannya untuk mengejar kejuaraan kedua Terbuka Perancis dan kejuaraan Grand Slam ke-18 hari ini, berjanji untuk berkelakuan baik selepas disingkirkan dari Terbuka AS.

Pemain nombor satu dunia itu akan bermain menentang pemain Sweden, Mikael Ymer, menduduki ranking ke-80, yang sedang memburu kemenangan ke-32 dalam 33 perlawanan pada 2020.

Satu-satunya kekalahan yang dialaminya adalah ketika insiden di New York di mana dia memukul bola dalam keadaan marah dan kemudian terkena pengadil garisan di bahagian kerongkong.

“Sudah tentunya saya akan memastikan saya tidak akan membuat kesilapan yang sama berulang kali,” kata pemain Serbia yang kekal menjadi salah seorang daripada dua orang pemain yang berjaya menewaskan juara 12 kali Rafael Nadal dalam 15 tahun di Paris.

Djokovic tidak mengalami kesan akibat kontroversi di Terbuka AS, dan segera mencatat rekod kejuaraan Masters ke-36 di Rom dalam perlawanan pemanasan badan sebelum ke Paris.

Aksi Novak Djokovic semasa menyertai Terbuka Itali di Rom. Djokovic bersedia untuk mengejar kejuaraan kedua Terbuka Perancis dan kejuaraan Grand Slam ke-18. – AP

Insentif tambahan di Paris untuk pemain Serbia adalah peluang untuk menjadi pemain pertama dalam era Terbuka – dan hanya tiga pemain lelaki dalam sejarah – untuk memenangi setiap satu daripada empat kejuaraan Grand Slam sebanyak dua kali.

Ymer, 22, yang berketurunan Utopia, belum memenangi sebarang perlawanan undian utama jelajah sejak sukan disambung selepas penggantungan yang panjang disebabkan oleh koronavirus.

Namun dia mara ke pusingan kedua Roland Garros dalam penampilan sulung Grand Slam tahun lalu selepas mara dari pusingan kelayakan sebelum tewas kepada pemain Jerman, Alexander Zverev.

Dalam perlawanan lain, Andrey Rublev, yang baharu dinobatkan sebagai juara Hamburg, pemain pilihan ke-13, akan bermain menentang pemain Amerika Syarikat, Sam Querrey. Aksi kemenangan pemain berusia 22 tahun, Rublev, di Jerman ke atas Stefanos Tsitsipas merupakan kejuaraan ketiganya pada 2020, selepas trofi di Doha dan Adelaide. – AFP