Djokovic semakin hampiri gelaran Grand Slam

NEW YORK, 3 SEPT – Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic menghampiri lima perlawanan untuk melengkapkan gelaran Grand Slam perseorangan lelaki pertama dalam jadual setahun bagi tempoh 52 tahun dengan mara ke pusingan ketiga Terbuka AS, hari ini.

Pemain Serbia berusia 34 tahun itu berjaya menyingkirkan pemain Belanda yang menduduki ranking ke-121, Tallon Griekspoor, 6-2, 6-3, 6-2 di Stadium Arthur Ashe untuk menempah pusingan ketiga menentang pemain naib juara Terbuka AS 2014, Kei Nishikori dari Jepun.

“Saya bermotivasi untuk melakukan dengan lebih baik,” kata Djokovic. “Saya bukan jenis pemain yang ingin mara ke dalam kejohanan dan menggenggam trofi. Saya cuba melakukan yang terbaik setiap hari dan melihat apa yang akan berlaku.”

Djokovic, memburu kejuaraan Grand Slam perseorangan lelaki pertama sejak Rod Laver pada 1969, berkata cabaran mental lebih sukar berbanding fizikal pada peringkat ini.

“Mungkin ia lebih kepada mental dan emosi,” dedah Djokovic. “Saya tidak kesah berada di atas gelanggang terlalu lama. Saya merasa mempunyai kelebihan dalam perlawanan terbaik daripada lima set.

“Ia lebih kepada menangani segala-nya yang berlaku di luar gelanggang, semua jangkaan.”
Kemenangan Terbuka AS keempat akan membawa Djokovic meraih gelaran Grand Slam ke-21, memberikannya rekod terbaik sepanjang zaman, ketinggalan satu daripada pencapaian yang kini dikongsi dengan Roger Federer dan Rafael Nadal, kedua-duanya tidak beraksi akibat kecederaan.

Djokovic berkata dia menjangkakan keraian di New York.

“Kami berharap akan meraikan dalam beberapa minggu akan datang,” kata Djokovic.

“Saya keluar dari gelanggang dengan tenaga yang masih sama, fokus yang tepat,” tambahnya. – AFP

Aksi Novak Djokovic membalas pukulan servis semasa pertemuan menentang Tallon Griekspoor di Terbuka AS, kelmarin. – AP