MELBOURNE, 9 DIS – Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic (gambar) semalam dinamakan dalam senarai Terbuka Australia berikutan spekulasi mengenai status vaksinasinya, manakala juara tujuh kali, Serena Williams pula tidak mengambil bahagian.
Pemain Serbia itu telah menimbulkan keraguan sama ada dia akan mempertahankan gelaran Melbourne pada bulan depan, enggan mendedahkan status vaksinnya iaitu syarat ditetapkan untuk beraksi di Melbourne.
Namun selepas dinamakan pada Selasa sebagai sebahagian daripada pasukan Serbia untuk kejohanan Piala ATP di Sydney pada Januari yang akan mendahului kejohanan utama pembukaan tahun itu, dia turut disenaraikan untuk Grand Slam.
Serena, 40, pula berkata dia belum cukup cergas untuk bersaing di Grand Slam pertama 2022 itu.
“Ini adalah keputusan yang sukar. Sememangnya saya belum bersedia dari segi fizikal untuk bertanding.
“Saya rindu bertemu peminat tetapi saya mahu memastikan penyertaan pada tahap tertinggi.”
Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Emma Raducanu dari Britain akan melakukan penampilan pertama di kejohanan itu. Rakan sepasukan dari Britain, Cameron Norrie, Dan Evans dan Heather Watson turut berada dalam senarai penyertaan pemain.
Juara 20 kali Grand Slam, Roger Federer telah mengumumkan tidak akan bertanding ketika masih meneruskan rawatan selepas menjalani pembedahan lutut dengan juara 2014, Stanislas Wawrinka tersisih kerana kecederaan.
Terbuka Australia dijadualkan bermula 14 Januari depan. Sebelum undian diumumkan, penganjur Terbuka Australia menekankan semua pemain mesti telah lengkap vaksinasi, di tengah laporan mereka berusaha mendapatkan kekecualian untuk Djokovic dengan sokongan daripada Tenis Australia. – AFP