COPENHAGEN, 8 DIS – Ahli sains di Greenland mengumumkan semalam mereka telah menemui DNA yang wujud dua juta tahun lalu – yang paling tua pernah ditemui – dalam mendapan dari Zaman Ais, sekali gus membuka babak baharu dalam paleogenetik.
“Kami bakal melakar sejarah kajian genetik,” kata Mikkel Winther Pedersen, penulis bersama kajian baharu yang disiarkan dalam jurnal sains Nature.
“Dipercayai satu juta tahun merupakan masa paling lama kewujudan DNA, tetapi kini DNA yang ditemui adalah dua kali ganda usia tersebut,” beritahunya kepada AFP. Mereka menemui cebisan DNA dalam mendapan dari kawasan Greenland dikenali sebagai Kap Kobenhavn, kata pensyarah Universiti Copenhagen.
Cebisan itu ‘datang dari alam sekitar yang tidak kami lihat di mana-mana tempat di bumi hari ini,” tambahnya. Dalam keadaan beku di kawasan terpencil, DNA itu telah terpelihara dengan baik.
Teknologi baharu membolehkan saintis menentukan bahawa 41 cebisan itu berusia lebih daripada satu juta tahun berbanding DNA tertua yang diketahui, diambil dari haiwan mamot Siberia.
Mereka perlu menentukan sama ada terdapatnya DNA yang tersembunyi dalam tanah liat dan kuarza, kemudian melihat sama ada ia boleh dikeluarkan dari mendapan untuk mengkajinya.
Kaedah yang digunakan ‘memberikan pemahaman asas tentang mengapa galian, atau mendapan boleh memulihara DNA,” kata Karina Sand, yang mengetuai pasukan geobiologi di Universiti Copenhagen. – AFP