Siri Kedua
DOA KETIKA MENDENGAR GURUH DAN PETIR
Ketika mendengar bunyi guruh dan petir, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan membaca doa di bawah ini yang maksudnya:
“Ya Allah, janganlah Engkau musnahkan kami dengan kemurkaanMu, dan janganlah Engkau hancurkan kami dengan azab siksaMu, dan sebelum itu berilah kami keampunan”.
(Hadits riwayat at-Tirmizi dan Ahmad)
Abdullah bin az-Zubair Radhiallahu ‘anhuma pula apabila mendengar guruh, beliau akan berhenti berkata-kata lalu membaca yang maksudnya:
“Maha suci (Allah) yang mana guruh bertasbih dengan memujiNya dan malaikat-malaikat (bertasbih) kerana takut kepadaNya”.
(Hadits riwayat Malik)
Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pula apabila mendengar guruh, beliau membaca yang maksudnya:
“Maha suci (Allah) yang engkau (guruh) telah bertasbih kepadaNya”.
(Hadits riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/11/P13-2A-Envato-Elements_03112023.jpg)
DOA DAN AMALAN KETIKA HUJAN TURUN
Ketika hujan turun, sunat menimpakan sedikit bahagian badan supaya terkena air hujan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, ini adalah bagi mengambil berkat kerana hujan yang turun itu baru sahaja diciptakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Walau bagaimanapun, hendaklah berhati-hati supaya tidak tersingkap anggota aurat ketika melakukan tuntutan ini.
Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu di mana beliau berkata yang maksudnya:
“Kami ditimpa hujan sewaktu bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lantas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyingkap pakaian Baginda sehingga (sebahagian) badan Baginda ditimpa air hujan.
“Lalu kami pun bertanya: “Wahai Rasulullah, untuk apa Tuan lakukan ini?” Baginda menjawab: “Kerana sesungguhnya hujan ini baru saja diciptakan oleh Tuhannya (Allah) Ta‘ala.”
(Hadits riwayat Muslim)
Selain tuntutan di atas, disunatkan juga untuk membaca doa berikut ketika turun hujan yang maksudnya:
“Ya Allah, jadikanlah ia hujan yang bermanfaat.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Di samping itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengucapkan Rahmah apabila melihat hujan.
Ini sepertimana hadits riwayat ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, katanya yang maksudnya:
“Dan apabila Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam melihat hujan, Baginda mengucapkan: Rahmah”.
(Hadits riwayat Muslim)
Sekiranya hujan menjadi lebat dan dikhuatiri mendatangkan mudharat, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan doa berikut yang maksudnya:
“Ya Allah turunkanlah hujan di sekitar kami, dan bukan di atas kami. Ya Allah turunkanlah hujan di dataran tinggi, anak bukit, lembah-lembah dan di tempat tumbuhnya pepohonan”.
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Setelah hujan reda pula, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan bacaan berikut sebagai pengiktirafan seorang hamba bahawa hujan itu diturunkan semata-mata dengan rahmat dan kurniaan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang maksudnya:
“Kami diberikan hujan atas kurniaan Allah serta rahmatNya”.
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
MEMPERBANYAKKAN DOA KETIKA HUJAN
Satu perkara yang mungkin kurang diketahui umum ialah waktu hujan pada hakikatnya merupakan salah satu waktu yang sangat dianjurkan untuk memperbanyakkan doa.
Mohonlah sebanyaknya apa sahaja hajat dan doa kebaikan dunia dan akhirat ketika itu. Ini kerana waktu hujan merupakan salah satu waktu mustajab untuk berdoa.
Ini ada disebutkan oleh Imam asy-Syafi‘i Rahimahullah dalam kitabnya al-’Umm yang maksudnya:
“Dan aku telah menghafal daripada ramai guru supaya mencari waktu dikabulkan doa ketika hujan turun dan ketika iqamah sembahyang”.
Demikian beberapa doa serta amalan yang sunat dilakukan ketika hujan sepertimana yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam serta beberapa sahabat Baginda.
Selayaknya segala tuntutan tersebut dijadikan amalan bukan semata-mata untuk memohon keselamatan dan perlindungan daripada segala kemungkinan, bahkan juga untuk meraih pahala kerana iqtida’ (mengikut) sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam serta para sahabat Baginda.