Doa dorong takluk Gunung Elbrus

SEPANG, 5 Sept – Berbekalkan doa dan harapan rakyat Malaysia serta dorongan daripada lima rakan pendaki yang tidak dapat meneruskan ekspedisi, Ummu Farah Haidar Zulkifli cekal mengharungi pelbagai cabaran dengan tekad untuk menawan puncak Gunung Elbrus, Rusia.

Ummu Farah, 30, menjadi wakil tunggal ekspedisi Kembara Srikandi Prihatin (KSP) berjaya menawan puncak gunung setinggi 5,642 meter dan yang tertinggi di benua Eropah, sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Lulusan ijazah undang-undang itu mengibarkan Jalur Gemilang serta mengalunkan azan dengan suara yang perlahan apabila tiba di puncak gunung berkenaan pada 4.15 petang (waktu Malaysia) Sabtu lepas.

“Antara cabaran yang dilalui untuk sampai ke puncak Gunung Elbrus ialah angin yang bertiup pada kelajuan 31km sejam, hujan salji dan ribut,” katanya yang ditemui selepas tiba di tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini bersama lima lagi anggota ekspedisi KSP.

Lima pendaki  lain KSP  ialah Nurul Huda Shamsuddin, 31, Nir Azmin Adnan, 34, Fairul Asmaini Mohd Pilus, 35, Fazilah Abd Manan, 41 dan Ren’ee Aziz Ahmad, 56, yang juga bekas pesakit kanser payu dara.

Enam pendaki ekspedisi Kembara Srikandi Prihatin (KSP) (dari kiri) Nurul Huda Shamsuddin, Fairul Asmaini, Ummu Farah Haidar Zulkifli, Fazilah Abd Manan, Rene’e Aziz Ahmad dan Nir Azmin Adnan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin. – Bernama

Menurut beliau, lima lagi pendaki KSP membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakian pada ketinggian 5,000 meter ekoran faktor cuaca buruk dan risiko mendapat reput fros dan penyakit akut ketinggian.

Sepanjang pendakian Ummu Farah berada 200 meter di hadapan pendaki KSP lain.

Katanya cubaan pertama keenam-enam mereka untuk menawan puncak Elbrus ialah pada 31 Ogos namun pada hari tersebut pendaki dari semua negara dinasihatkan tidak meneruskan pendakian atas faktor cuaca.

Tambah Ummu Farah, banjir yang melanda perkampungan Terskol berhampiran Gunung Elbrus tidak memberi kesan kepada pendaki KSP kerana ketika banjir berlaku mereka sudah berada di tempat yang tinggi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kembara Negara (PKN) Tan Sri Khalid Yunus yang menyambut kepulangan anggota KSP itu berkata misi ekspedisi disifatkan berjaya kerana matlamat utama untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Elbrus tercapai.

Beliau berkata pihaknya bercadang menjadikan ekspedisi KSP sebagai acara tahunan pada setiap sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

Timbalan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan  yang juga Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang turut menyambut kepulangan enam pendaki berkenaan berkata kejayaan pendaki tunggal mengibarkan Jalur Gemilang di Gunung Elbrus diharap menjadi inspirasi kepada wanita Malaysia supaya berjiwa kental.

Ekspedisi KSP anjuran PKN dengan kerjasama Puteri UMNO dan sokongan Jabatan Perdana Menteri itu melibatkan enam pendaki wanita yang berlepas ke Rusia pada 23 Ogos.

Ia merupakan acara kemuncak bagi kempen KSP yang diadakan bagi mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti luar dan lasak dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kementerian Luar pada Sabtu lepas mengesahkan 19 rakyat Malaysia termasuk enam pendaki KSP yang mendaki puncak Gunung Elbrus, Rusia, terkandas ekoran banjir lumpur melanda Perkampungan Terskol yang terletak berhampuran gunung itu pada Jumaat.

Kesemua pendaki dan pelancong lain dilaporkan dibawa keluar dengan selamat menaiki helikopter yang disediakan oleh kerajaan Rusia dari kawasan yang terjejas akibat banjir lumpur itu.

Kumpulan pendaki berkenaan kemudiannya menuju ke Lapangan Terbang Mineralnye Vody, Stavropol Krai sebelum menaiki pesawat ke Moscow malam Ahad untuk kembali ke tanah air hari ini. – Bernama