Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Doa itu senjata ampuh

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Berdoa itu hendaklah dibuat pada setiap masa, sama ada dalam keadaan kita senang atau ketika susah, lebih-lebih lagi pada ketika dunia dilanda dengan penularan COVID-19.

    Perkara itu ditekankan oleh khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Berdoa Memohon Perlindungan Allah SWT’.

    Menurut khatib, sebagai orang Islam yang beriman, setelah pelbagai langkah cara dan usaha yang telah dilakukan untuk mencegah dan menangani penularan COVID-19, doa adalah senjata yang ampuh dan berkesan.

    Setiap ketentuan dan ketetapan Allah itu adalah yang terbaik buat hambaNya dan pastinya mengandungi hikmahnya yang tersendiri, apabila mengimbas kembali tahun 2021 merupakan tahun yang sangat mencabar bagi negara iaitu bersabit dengan tularnya gelombang kedua wabak koronavirus.

    Akan tetapi, selaku umat yang berakidah, jelas khatib, kita wajib melihatnya sebagai satu hikmah dan tarbiah dari Allah kepada kita.

    Khatib seterusnya menambah, kita wajib bersangka baik terhadap Allah, sekiranya Allah mendatangkan satu ujian dan dugaan merupakan wabak, penyakit, kesukaran dan sebagainya maka ujian dan dugaan itu bukan satu bentuk penzaliman malah ia merupakan satu bentuk pengajaran atau sebagai cara Allah menambahkan darjat seseorang, sekiranya seseorang yang diuji itu sanggup bersabar menerima ujian dan dugaan tersebut.

    Namun, untuk menghadapi ujian dan dugaan itu, tegasnya, kita tidak boleh duduk diam dan berpeluk tubuh saja tapi hendaklah berusaha dan berikhtiar memikirkan cara dan pendekatan yang berbeza untuk menyelesaikan sesuatu perkara dan permasalahannya.

    Ketahuilah bahawa “Jika kita merujuk kepada Al-Quran dan hadis, antara ikhtiar yang afdal selain ia berbentuk usaha perubatan dan pencegahan itu, berdoa di mana dalam hadis Baginda Rasulullah SAW menyarankan umatnya untuk sentiasa memohon dan meminta pertolongan pada Allah,” tambahnya.

    “Sesungguhnya banyak doa dan zikir-zikir yang boleh diamalkan supaya dilindungi daripada dijangkiti apa jua wabak,” katanya.

    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad iaitu daripada Sayidina Othman bin Affan r.a berkata, “Aku mendengar Nabi SAW bersabda, sesiapa yang membaca zikir yang maksudnya, ‘Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat bersama namaNya apa yang ada di bumi dan jua di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui’, sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh.

    “Dan barang siapa yang membacanya ketika Subuh sebanyak tiga kali, maka, dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” Sehubungan itu, khatib menyeru umat Islam untuk terus memperbanyakkan membaca doa kerana doa itu menunjukkan, kita adalah hamba yang sentiasa taat dan ingat kepada Allah, lebih-lebih lagi pada ketika ini negara diuji dengan musibah dan kesulitan.

    Sebagai orang Islam, kita anggap ujian dan musibah ini sebagai satu teguran dan ingatan Allah supaya kita kembali mengukuhkan pegangan dan keimanan, menuruti jalan agamanya yang sebenar.

    “Percayalah pada janji Allah yang akan memperkenankan doa permohonan bagi sesiapa yang memohon kepadanya,” nasihatnya sebelum mengakhiri khutbah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...