Doa kesyukuran Hari Polis ke-96 Tahun

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Bersempena Sambutan Hari Polis Ke-96 Tahun, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) kelmarin telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Al-Islam.

Majlis dimulakan dengan solat Fardu Maghrib berjemaah diikuti solat Sunat Hajat untuk memohon ke hadrat Allah S.W.T agar semua warga PDB sentiasa dikurniakan kesihatan dalam melaksanakan tugas dalam mencegah dan membanteras jenayah agar sentiasa dilindungi daripada kecelakaan dan kesukaran semasa menjalankan tugas.

Seterusnya majlis diteruskan dengan membaca Surah Yasin dan diselajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang diketuai oleh Imam Surau Polis Gadong, Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Metali yang kemudian memimpin bacaan doa kesyukuran beramai-ramai dan solat Fardu Isyak berjemaah.

Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy (tengah) sama-sama membaca doa kesyukuran pada majlis berkenaan.
Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy (tengah) sama-sama membaca doa kesyukuran pada majlis berkenaan.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh para pegawai dan anggota PDB serta kakitangan yang bertugas dengan PDB.

Turut hadir ialah mantan-mantan pesuruhjaya polis dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli pengawasan kejiranan di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Pasukan Kadet Polis.

Majlis serupa juga diadakan di Surau Daerah Polis Belait, Panaga bersempena Sambutan Hari Polis ke-96 Tahun.