Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doa Kesyukuran rai kepulangan anggota ABDB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Majlis Doa Kesyukuran bagi meraikan kepulangan kontinjen Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang selesai melaksanakan Operasi Badai Taduh Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Republik Filipina telah diadakan di Surau Al-Barakah, Pangkalan Tentera Udara Rimba pagi tadi.

    Kontinjen yang diketuai oleh Leftenan Kolonel (U) Mohammad Azmi bin Haji Afflon telah selamat kembali ke Negara Brunei Darussalam pada 5 November lalu.

    Hadir di majlis berkenaan dan menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada ahli-ahli kontinjen ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir di majlis tersebut ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Duta Besar dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio; atase pertahanan dan Angkatan Tentera Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam; pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Pusat Penyelarasan Bencana Kebangsaan dan keluarga anggota-anggota ABDB yang diraikan.

    Kontinjen misi Operasi Badai Taduh telah dikerahkan dari 27 Oktober hingga 5 November untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di kawasan terjejas di Republik Filipina berikutan Taufan Tropika Kristine (TRAMI).

    Misi ini mencerminkan komitmen teguh Kementerian Pertahanan terhadap operasi HADR di rantau ini, seperti digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan 2021, yang menekankan pendekatan proaktif dalam pengurusan bencana dan kepentingan menggalakkan kerjasama dengan negara-negara serantau.

    Ia juga menyokong aspirasi Piagam ASEAN yang menekankan keperluan bagi negara-negara anggota untuk meningkatkan komitmen kolektif dan tanggungjawab bersama dalam menghadapi cabaran kemanusiaan.

    Dengan melaksanakan misi ini, Kementerian Pertahanan bukan sahaja mengukuhkan objektif strategiknya tetapi juga menyumbang kepada rangka kerja serantau yang bertujuan untuk mempromosikan daya ketahanan dan kerjasama dalam menghadapi bencana.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi hadir pada majlis yang diadakan di Surau Al-Barakah, Pangkalan Tentera Udara Rimba kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda