Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Doa Kesyukuran rai ulang tahun penubuhan Yayasan ke-30 tahun

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) petang tadi berkenan berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan ke-30 Tahun yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, di ibu negara.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku Timbalan Pengerusi II Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang  Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz, diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Kesyukuran sempena 30 tahun penubuhan Yayasan.  

    Pada majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Yayasan berjumlah $150,000 kepada dua buah badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan golongan orang kelainan upaya (OKU) iaitu Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) dan Persatuan SMARTER Brunei.  

    Ia merupakan keprihatinan Yayasan terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU yang sewajarnya diberikan bimbingan, didikan dan kemahiran supaya mereka menjadi individu yang berjaya dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) berkenan berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan ke-30 di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, kelmarin. Duli Yang Teramat Mulia turut berkenan menyampaikan sumbangan Yayasan kepada badan-badan kebajikan sempena ulang tahun itu.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bergambar ramai pada majlis berkenaan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan sama-sama menunaikan solat berjemaah.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyampaikan sumbangan Yayasan kepada SMARTER Brunei.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyampaikan sumbangan bagi membiayai sebahagian daripada kos pembinaan Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam kepada Pusat Ehsan.

    Pusat Ehsan menerima sumbangan kewangan sebanyak $100,000 yang diterima oleh Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Alimin bin Haji Abdul Wahab.

    Daripada jumlah berkenaan, sebanyak $50,000 merupakan sumbangan tahunan Yayasan (bagi 2022) untuk memberi sokongan kepada pusat berkenaan dalam mengendalikan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kurang upaya dari segi anggota dan intelek untuk membolehkan mereka mencapai potensi ke tahap maksimum.

    Sebanyak $50,000 lagi adalah sumbangan Yayasan bagi membiayai sebahagian daripada kos pembinaan Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

    Sementara itu, Persatuan SMARTER Brunei menerima sumbangan berjumlah $50,000 yang diterima oleh Presiden Persatuan SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.  

    Ia merupakan sumbangan tahunan Yayasan (bagi 2022) dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 peratus disumbangkan untuk mengendalikan urusan pengajaran dan pembelajaran khusus bagi anak-anak autistik.  

    Manakala sebanyak 50 peratus lagi adalah untuk pembayaran yuran pendidikan yang dikenakan oleh SMARTER Brunei bagi mengajar anak-anak autisme daripada keluarga yang berpendapatan rendah.

    Juga hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Yayasan ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena sambutan jubli perak menaiki takhta.  

    Penubuhannya adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat serta menjadi pembentuk masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

    Sepanjang 30 tahun penubuhannya, Yayasan telah melaksanakan pelbagai program, projek dan aktiviti untuk meningkatkan dan merangsang perkem-bangan sosioekonomi serta kesejahteraan rakyat dan penduduk Brunei sekali gus memenuhi aspirasi Kebawah

    Duli Yang Maha Mulia untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

    Dalam apa jua perancangan dan pelaksanaan program, projek dan aktivitinya, Yayasan mendukung penuh agenda pembangunan negara sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...