Doa kesyukuran raikan kejayaan LVAD

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Enam tahun lalu, Awang Ramlee bin Haji Kamis yang didiagnosis dengan disfungsi jantung yang teruk pada 2002 telah menjadi orang pertama di negara ini yang dipasangkan dengan alat dinamakan Left Venticular Assist Device (LVAD) di Gleneagles JPMC.

Hari ini, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar telah bertemu dengan Awang Ramlee yang merupakan pesakitnya pada majlis Doa Kesyukuran yang diadakan di Gleneagles JPMC.

Ketika ditemui, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menzahirkan perasaan syukur kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyediakan perkhidmatan heart failure programme di negara ini.

Beliau berkata, sejak program LVAD diperkenalkan, lima implan telah dijalankan di negara ini setakat ini dan Awang Ramlee berada dalam keadaan baik sejak prosedur implan dijalankan enam tahun lalu.

“Sebelum pembedahan, Awang Ramlee kerap dimasukkan ke hospital bagi rawatan kegagalan jantung, mengalami kesukaran bernafas dan sebagainya. Tetapi sejak menggunakan LVAD, Awang Ramlee menjalani aktiviti dengan lebih baik dan dapat menyambung semula kerjanya dan menjadi pencari nafkah,” katanya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan bersama Awang Ramlee (tiga, kiri) semasa menghadiri majlis Doa Kesyukuran sempena kejayaan program LVAD di Gleneagles JPMC.

Mengulas lanjut mengenai prosedur berkenaan, beliau juga berkata bahawa sebelum pemasangan alat LVAD, banyak perkara perlu diambil kira iaitu memastikan keadaan rumah dan tempat tinggal pesakit seperti bekalan elektrik dan pendawaian di rumah pesakit di samping disiplin seseorang pesakit kerana mereka mestilah berdisiplin.

Menurut Gleneagles JPMC, kegagalan jantung merupakan penyebab kematian yang paling kerap berlaku di seluruh dunia termasuklah di negara ini yang disebabkan jantung telah rosak kerana serangan jantung atau akibat kondisi lainnya seperti cardiomyopthy.

Apabila pesakit mengalami kegagalan jantung lanjut, risiko kematian adalah sangat tinggi di mana risikonya mungkin melebihi daripada penyakit lainnya seperti kanser.

Di Negara Brunei Darussalam pesakit yang mengalami kegagalan jantung yang teruk yang tidak dapat dikendalikan dengan ubat-ubatan atau rawatan lainnya mungkin akan diberikan LVAD.

LVAD merupakan pengepam jantung buatan yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami kegagalan jantung yang teruk.

Lazimnya ventrikel kiri, iaitu salah satu daripada empat ruang jantung, mengepam darah ke aorta (arteri besar yang meninggalkan jantung) dan ke seluruh badan. Namun bagi seseorang yang mengalami kegagalan jantung, jantungnya terlalu lemah untuk mengepam darah ke seluruh badan.

Maka alat berkenaan membantu jantung yang lemah tersebut dan akan memastikan aliran darah berjalan dengan biasa. Sesetengah pesakit berasa lemah, letih dan sukar untuk bernafas, namun setelah menggunakan LVAD tersebut yang membuatkan aliran darah menjadi biasa, mereka akan merasa lebih bermaya dan dapat melakukan aktiviti yang biasa seperti memandu dan bercuti dan ada juga yang kembali bekerja seperti sebelumnya.

Pada 11 November 2014, Brunei menjadi salah satu pusat yang pertama di rantau ASEAN untuk memulakan penggunaan program LVAD dan berjaya melaksanakannya.