Doa Kesyukuran sempena Hari Keluarga Kebangsaan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2022, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) hari ini mengadakan Majlis Membaca Doa Kesyukuran dan Surah Yasin secara maya melalui aplikasi Zoom.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri, Datin Nurhayana Janis binti Abdullah bersama lebih 100 orang ahli keluarga.

Turut hadir setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, pegawai dan kakitangan kerajaan, agensi swasta dan persatuan badan-badan bukan kerajaan (NGOs).

Majlis turut diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Keluargaku Syurgaku’ yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid dan diakhiri dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dan Surah Al-Asr.

Hari Keluarga Kebangsaan disambut pada setiap Ahad minggu pertama Mei setiap tahun.

Selain mengadakan majlis keagamaan berkenaan, pelbagai aktiviti dan program sempena Hari Keluarga Kebangsaan telah pun disusun sepanjang tahun bersesuaian dengan tema ‘Keluargaku Harapanku’.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menghadiri majlis tersebut yang diadakan secara maya.- Gambar serahan KKBS