Doa Kesyukuran sempena Hari Penerbangan Awam

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Sempena Hari Penerbangan Awam Antarabangsa yang disambut pada setiap 7 Disember, Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Perhubungan telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, hari ini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi, pengarah-pengarah bahagian di Kementerian Perhubungan, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan serta pihak-pihak berkuasa di bawahnya termasuk agensi-agensi berkepentingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Majlis telah dimulakan dengan Solat Sunat Hajat berjemaah dan diikuti dengan Solat Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Pengiran Haji Mohd Ismail bin Pengiran Haji Tuah.

Kemudian, majlis diikuti dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran bagi sama-sama memohon dan berdoa ke hadrat Allah SWT untuk keselamatan dan kesejahteraan perkhidmatan udara dan para penumpang.

Menurut kenyataan yang diberikan, Sambutan Hari Penerbangan Awam Antarabangsa bertujuan bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penerbangan awam antarabangsa dan peranan yang dimainkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) selaku badan yang juga bertanggungjawab dalam merangka piawaian antarabangsa bagi keselamatan pengangkutan udara.

Tema sambutan tahun ini iaitu ‘Working Together to Ensure No Country is Left Behind’ menekankan mengenai inisiatif ICAO dalam usaha membantu negara-negara ahli melaksanakan amalan-amalan standard dan dicadangkan (SARPs) di mana perlaksanaannya bertujuan bagi menjamin keselamatan penerbangan awam.

Dr Haji Supry bersama pengarah-pengarah bahagian di Kementerian Perhubungan, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan serta pihak-pihak berkuasa di bawahnya termasuk agensi-agensi berkepentingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ketika mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Penerbangan Awam Antarabangsa. – Gambar oleh Muiz Matdani