Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Doa kesyukuran sempena HBK 2022

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) menyasarkan untuk memartabatkan pergerakan belia dengan memperingati dan mengumpulkan belia-belia di negara ini dalam satu perhimpunan menerusi kegiatan yang bermakna.

    Pada tahun ini, Sambutan HBK ke-17 dengan tema ‘Belia Siaga Masa Depan’ akan diadakan pada 9 Ogos ini bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Bersempena dengan sambutan tersebut, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran (solat fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, bacaan Surah Yasin, bertahlil serta Doa Kesyukuran) bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Atur cara majlis dimulakan dengan solat fardu Maghrib berjemaah diimamkan oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Abdulsalam bin Haji Salim, diikuti dengan solat Hajat berjemaah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pengiran Mohd Sallehin bin Pengiran Tejudin dan seterusnya disusuli dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil dipimpin oleh Belia Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Mohammad Faris Zayani bin Muhammad Firdausil Amin.

    Bacaan Surah Yasin dan Tahlil dikhususkan untuk Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim, serta kaum muslimin dan muslimat yang telah kembali ke rahmatullah.

    Majlis diteruskan dengan Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Doa Menghindari Wabak COVID-19 dibacakan oleh Pengiran Mohd Sallehin.

    Majlis diakhiri dengan solat fardu Isyak berjemaah diimamkan oleh Awang Abdulsalam bin Haji Salim.

    Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap kementerian-kementerian; ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK ke-17, ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah; persatuan dan pergerakan belia; belia-belia masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid; institusi pengajian tinggi; pelatih Pusat Pembangunan Belia (PPB); dan ahli-ahli kelab dan alumni bagi sama-sama memanjat doa dan kesyukuran untuk belia di negara ini terus bergerak secara berterusan dengan sokongan kerajaan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa hadir pada majlis yang berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri, kelmarin.
    Pengiran Mohd Sallehin mengetuai sembahyang sunat Hajat pada majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...