Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Doa Kesyukuran sempena ulang tahun perasmian masjid

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Bersempena dengan ulang tahun pe-rasmiannya yang ke-38, Masjid Kampung Sungai Besar telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di masjid berkenaan, kelmarin.

    Hadir ke majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Amir Hisham bin Haji Masri dan Penasihat Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yassin, tahlil dan seterusnya bacaan doa kesyukuran yang dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhammad Hazman bin Haji Mohd Hairol Azme.

    Semasa majlis tersebut, Setiausaha AJK Takmir, Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit melahirkan rasa kesyukuran atas peranan AJK yang telah dijalankan dalam usaha mentakmirkan dan mengimarahkan masjid sebagai kesinambungan peneraju AJK yang telah lalu.

    Katanya, “Pelbagai aktiviti menarik orang ramai untuk mencintai masjid telah dilaksanakan oleh AJK masjid di samping belia, beliawanis serta Muslimah turut memainkan peranan untuk sama-sama mengimarahkan masjid.”

    Masjid Kampung Sungai Besar yang terletak kira-kira 15 kilometer dari ibu negara dibina pada 1 Oktober 1982 di atas tapak tanah seluas dua ekar dengan kapasiti masjid ini boleh menampung seramai 280 orang jemaah dan boleh kini menampung lebih
    600 jemaah selepas ia diperbesarkan setelah jumlah jemaah semakin meningkat.

    Perasmian masjid berkenaan pada 1 Januari 1984 disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar.

    Haji Amir Hisham hadir bersama ahli jawatankuasa Masjid Kampung Sungai Besar semasa Majlis Doa Kesyukuran di masjid berkenaan, baru-baru ini. – Gambar serahan Masjid Kampung Sungai Besar.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...