Oleh Haniq Rafael
GEMA bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an sekali lagi bakal kedengaran berkumandang di Istana Nurul Iman yang berlangsung bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Seramai 1,708 orang peserta khatam dari seluruh negara bakal menyertai Majlis Khatam Al-Qur’an 71 Kali Khatam terdiri daripada lelaki dan perempuan dewasa, belia dan beliawanis dan termasuk juga kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah, yang melibatkan pelajar-pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja, Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun, Pelajar Sekolah Arab dan Al-Falaah, sekolah-sekolah Ugama, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang berlangsung pada hari ini bertempat di Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman.
Majlis Khatam Al-Qur’an diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Pesambah istimewa
Majlis Khatam Al-Qur’an 71 Kali Khatam Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) Seluruh Negara pada peringkat rakyat jelata merupakan antara acara yang bersignifikan kenegaraan dan keagamaan yang menjadi pesambah istimewa berupa doa tulus rakyat jelata untuk seorang raja dan Walil Amri yang sangat dikasihi dan ditaati.

Rakyat dan penduduk mendoakan semoga Baginda dilanjutkan usia, sihat, dimurahkan rezeki dan tetap dalam iman serta kekal karar memerintah dan memimpin Negara Brunei Darussalam dengan inayat dan hidayat Allah Subhanahu Wata’ala.
Selain pahala dan rahmat Allah yang diperolehi daripada membaca Kitab suci Al-Qur’an, penyertaan orang ramai ini adalah juga manifestasi ketaatan dan kesetiaan kepada raja, agama dan negara.
Selain bagi menanam dan menyuburkan budaya membaca, mempelajari, dan menghayati Al-Qur’an serta mengamalkan ajaran-ajarannya sebagai amalan harian untuk kepentingan diri, agama, bangsa dan negara bahkan sebagai bakalan di akhirat nanti.
Dengan adanya Majlis Khatam Al-Qur’an ini ia juga sebagai menzahirkan kesyukuran rakyat dan penduduk negara ini atas limpah rahmat dan nikmat Allah Subhanahu Wata’ala yang menjadikan Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa berada dalam keadaan aman, sejahtera.
Dengan niat membaca Al-Qur’an 30 juz dihadiahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia supaya hasrat Baginda untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang aman, makmur dan maju dengan petunjuk Allah serta menyahut hasrat Baginda bagi menjadikan negara ini sebuah ‘Negara Zikir’ ke arah menuju Baldatun Tahyyibatun Warabbun Ghafur.
Kepentingan Al-Quran
Sebagaimana juga dalam petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Tahun 1433 Hijriah/2012 Masihi yang antaranya seperti berikut; “Kekuatan Islam terletak pada Al-Qur’an.”
“Kekuatan Al-Qur’an pula terletak pada keasliannya, yang tidak dicemari oleh tangan-tangan manusia. Adalah menjadi tanggungjawab setiap kita untuk mempertahankan, memelihara dan menjaga keaslian tersebut. Antara cara kita mempertahankan, memelihara dan menjaga keaslian itu ialah melalui aktiviti penghafalan ayat-ayat Al-Qur’an itu”
“Tidak boleh tidak adalah menjadi kewajiban umat Islam untuk kembali kepada petunjuk Al-Qur’an bagi meraih kegemilangan dalam makna lain kita perlu bangun selaku generasi pembaca, di samping sekali gus menjadi pengamal ajaran Al-Qur’an itu”.
Dengan mengamalkan pembacaan Al-Qur’an seperti yang sering diadakan pada setiap tahun Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, ini dapat membantu dan mendukung wawasan untuk menjadikan Negara ini sebagai sebuah Negara Zikir dan rakyatnya cilik Al-Qur’an.
Justeru, hubungan yang begitu mendalam antara rakyat dan raja inilah yang menjadi pengikat dan pengukuh daya wujud negara yang berpaksikan kepada falsafah negara Melayu Islam Beraja (MIB) dan bermotokan tekad untuk ‘Sentiasa Berbuat Kebajikan Dengan Petunjuk Allah Subhanahu Wata’ala’.