Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Majlis Doa Selamat bagi pemergian Pasukan Pemantau Antarabangsa Mindanao Negara Brunei Darussalam (PPA-M NBD) ke-18 dan Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT) keempat telah diadakan di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison pagi tadi.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir; Timbalan Pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Awang Sulaiman bin Alidin, pemangku setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, peringkat kepimpinan, tetamu-tetamu daripada perwakilan pertahanan di Negara Brunei Darussalam, serta warga Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Kontinjen PPA-M NBD ke-18 diketuai oleh Komander Mohd Zouhdy bin Haji Abdul Razak, dan terdiri daripada empat orang pegawai ABDB dan seorang pegawai PPDB, manakala Kontinjen IDB VMAT keempat diketuai oleh Leftenan Kolonel Hairin bin Japar dan disertai oleh tiga orang pegawai ABDB. Kontinjen berkenaan akan bertolak ke Mindanao, Republik Filipina pada 21 Mac.
Majlis tersebut diselaraskan dengan acara Halaqah Jumaat mingguan Kementerian Pertahanan dan ABDB iaitu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan Tazkirah.
Seterusnya, majlis diikuti dengan penyampaian cenderahati berupa ‘Buku Perwira’ kepada ahli-ahli kontinjen, dan diakhiri dengan sembahyang sunat Dhuha.
ABDB telah mengikuti PPA-M sejak tahun 2004 dan IDB VMAT sejak tahun 2019 dalam memberi komitmen yang berterusan ke arah keamanan dan kestabilan serantau dan antarabangsa.
Misi luar negara tersebut adalah selaras dengan aspirasi yang telah digariskan dalam Kertas-kertas Putih Pertahanan Negara Brunei Darussalam.
Misi pengaman ini telah menghasilkan pelaburan yang besar, bukan sahaja bagi imej ABDB dan anggota-anggota yang terlibat, malahan juga bagi negara daripada konteks bidang diplomasi pertahanan.