‘Doakan anak saya cepat sembuh’

Selepas disahkan positif COVID-19, anak sulung pelakon Nazrief Nazri, Noah berusia dua bulan, mengalami jangkitan kuman dalam darah dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Nazrief berkata Noah dimasukkan ke hospital selepas demam panas berterusan sejak minggu lalu.

“Tiga hari lalu, saya bawa Noah ke klinik.

“Doktor memaklumkan demam dialami Noah mungkin disebabkan kesan sampingan COVID-19.

“Bagaimanapun, selepas saya bawa Noah ke hospital, doktor beritahu, anak saya alami jangkitan kuman dalam darah. Demam panasnya turun naik dan suhu pernah mencecah 39.5 darjah Celsius.

Nazrief meminta peminat dan pengikut akaun media sosialnya agar dapat mendoakan Noah segera sembuh. – Agensi

“Buat masa ini, Noah stabil. Namun, saya masih menunggu laporan beberapa ujian. Saya dimaklumkan keadaan Noah tidak serius.

“Cuma, saya masih menanti laporan doktor mengenai punca jangkitan kuman itu,” katanya kepada wartawan.

Nazrief sedih Noah yang dilahirkan pada 19 Julai lalu, terpaksa dirawat di hospital pada usia dua bulan.

“Saya tidak sangka Noah mengalami jangkitan kuman dalam darah dan perlu melalui semua ini. Noah anak yang tidak banyak ragam.

“Walaupun demam, dia kerap tidur dan tidak seperti anak damit lain yang meragam kerana tidak selesa. Saya sepatutnya terus membawa Noah ke hospital mendapatkan rawatan.

“Tolonglah doakan anak saya cepat sembuh,” katanya.

Pada 21 September lalu, Nazrief mengesahkan Noah positif COVID-19.

Nazrief dilaporkan tidak tahu punca anak sulungnya itu dijangkiti. Dirinya dan isteri, Aziatul Aqma bagaimanapun disahkan bebas daripada jangkitan virus berkenaan.

Tambah Nazrief, dia bersama Aziatul sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19.

Nazrief dan Aziatul bernikah pada 15 November 2019. – Agensi