Doakan keselamatan kontinjen IMT ke-19

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Bagi memberkati pemergian Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) Negara Brunei Darussalam ke-17, yang akan berlepas ke Mindanao, Republik Filipina pada 20 Oktober ini, majlis Doa Selamat telah diadakan di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison, hari ini.

Kontinjen IMT ke-17 berkenaan diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Fakaruddin Zuraidie bin Haji Ramli dan terdiri daripada lapan orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat dan Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

Turut hadir ialah setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan-timbalan setiausaha tetap, para pengarah, komandan, pegawai-pegawai kanan tentera dan awam serta pegawai dan anggota dari Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, tadarus Al-Quran, Surah Yasin dan Doa Selamat bagi memohon keselamatan kontinjen yang dipimpin oleh Awang Mohd Nur Amin bin Haji Jali diikuti dengan tazkirah dan sembahyang Sunat Duha.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua bersama jemputan lain mengaminkan doa pada majlis keagamaan itu.