Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) terus menyeru semua pengguna jalan raya untuk sentiasa memulakan setiap perjalanan dengan doa di samping meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika memandu serta mengamalkan sikap pemanduan yang berhemah.
Bagi memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT khusus untuk memohon keselamatan bagi semua pengguna jalan raya agar terpelihara daripada sebarang kemalangan, MKKJR telah mengadakan majlis solat Sunat Hajat, membaca Ratib Al-Attas dan solat Fardu Asar berjemaah yang berlangsung di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan MKKJR, di sini, majlis juga diadakan bagi memanjatkan doa supaya Negara Brunei Darussalam sentiasa diberikan perlindungan agar terhindar daripada bala dan segala penyakit khasnya wabak COVID-19.
Acara itu juga merupakan salah satu usaha berterusan MKKJR untuk memohon berkat dalam segala usaha dan perancangannya ke arah meningkatkan keselamatan jalan raya demi kesejah-teraan semua.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak.
Turut hadir ialah ahli-ahli MKKJR, serta ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan di bawahnya serta pihak-pihak berkuasa yang berkenaan.
Solat Sunat Hajat, bacaan Ratib Al-Attas dan solat Fardu Asar berjemaah telah diketuai oleh Pemangku Imam Surau LTAB, Awang Mohammad Alihan bin Abusamah.
Majlis telah diadakan dengan mengambil langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 yang masih dikuatkuasakan mengikut nasihat dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
MKKJR terus menyeru pemandu-pemandu untuk sentiasa mementingkan keselamatan serta mengamalkan pemakaian tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan untuk sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan serta tanda-tanda isyarat lalu lintas yang dipamerkan demi menjaga keselamatan bersama dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat pemeliharaan dan penyelenggaraan mengikut piawaian yang diluluskan bagi mengelak kejadian kebakaran kenderaan yang tidak diingini.