Dobi tradisional kian pupus

GEORGE TOWN – Bermodalkan kudrat tulang empat kerat, pengusaha dobi tradisional membantu orang ramai untuk terus menikmati pakaian bersih yang dibasuh dengan tangan dan digosok menggunakan seterika arang.

Walaupun ketika ini kedai dobi layan diri bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, namun perkhidmatan dobi tradisional di penempatan Dobi Ghaut, di sini iaitu sebuah kawasan dobi terbuka sama seperti kedai dobi terbuka di Mumbai, India, tetap menjadi pilihan pelanggan tetap di situ.

Seorang pengusaha dobi tradisional, V. Panchacharam, 60, berkata permintaan ter-hadap perkhidmatan dobi tradisional itu masih ada dan beliau turut menerima tempahan daripada pelanggan baharu selain pelanggan tetapnya dari Bayan Baru, Gelugor dan Teluk Kumbar memandangkan kaedah tradisional mencuci pakaian menggunakan tangan lebih bersih berbanding menggunakan mesin basuh.

Bagaimanapun beliau yang merupakan generasi kedua mengusahakan perniagaan dobi tradisional itu sejak hampir 40 tahun lalu, memberi bayangan bahawa perkhidmatan itu bakal ‘berkubur’ dalam tempoh lima ke sepuluh tahun akan datang.

Situasi itu, katanya, bakal terjadi bukan disebabkan perkembangan arus kemodenan tetapi kerana perkhidmatan berkenaan tidak mempunyai pelapis memandangkan generasi muda kini tidak menunjukkan minat untuk meneruskan legasi dobi tradisional itu.

Seorang pengusaha dobi tradisional, M. Yuvaraj, menjemur kain di penempatan Dobi Ghaut. – Bernama

“Ketiga-tiga anak saya memang tak minat, tambah mereka dah belajar tinggi dan mempunyai kerjaya sendiri. Tak macam saya dahulu, ayah paksa saya untuk bekerja dengan dia, tolong cuci baju. Saya tiada pilihan dan meneruskan perniagaan ayah saya yang bermula sejak tahun 1950an lagi. Tidak dinafikan kerja menguruskan dobi tradisional ini memerlukan tenaga dan kesabaran.

“Disebabkan itu, mungkin generasi muda tidak berminat sebab kena basuh kain dengan tangan, yang dianggap membebankan. Tapi bagi saya kalau saya tak buat kerja ni badan akan sakit-sakit. Kerja ini juga sebahagian daripada senaman saya untuk kekal sihat dan mengeluarkan peluh,” katanya kepada media.

Panchacharam berkata sebelum ini terdapat 100 pengusaha dobi tradisional India di penempatan itu, tetapi kini hanya 12 orang yang masih menawarkan perkhidmatan tersebut.

Beliau berkata rutinnya bermula dengan mengutip kain kotor daripada pelanggan selama dua hari dan kemudian mengasingkan pakaian kotor itu berdasarkan warna sebelum direndam di dalam air panas dan sabun semalaman, keesokan harinya pula diberus dan diperah menggunakan tangan serta dikeringkan di bawah sinaran matahari sebelum digosok.

“Sebelum ini, kain yang sudah dibasuh akan dikeringkan di bawah matahari semata-mata tanpa menggunakan mesin pengering. Tapi kini saya perlu menggunakan mesin pengering untuk mempercepatkan proses pengeringan kerana kadang-kadang cuaca mendung dan hujan. Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada orang perseorangan, pengusaha restoran, katerer dan sebagainya,” katanya yang turut dibantu isterinya, P. Susila, 59, dan dua pekerja.

Panchacharam berkata kebanyakan pengusaha dobi tradisional itu juga kini sudah berusia dan beliau akan meneruskan perniagaan itu selagi termampu dan mempunyai kudrat. – Bernama