Doktor, anak damit 9 bulan maut nahas jalan raya

GUA MUSANG, 29 MAC – Seorang doktor perubatan dan anak damit lelakinya yang berusia sembilan bulan maut manakala tujuh lagi cedera apabila van kesihatan yang mereka naiki terbabas di Kilometer 11 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru di sini hari ini.

Ketua Polis Gua Musang Super-intenden Mohd Taufik Maidin berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Dr Nooranisah Mohd Razali, 31, dan anak lelakinya, Mohammad Fitri Yusof Muhammad Hafiz Zulilmi.

Nahas itu berlaku pada 9.50 pagi.

“Doktor terbabit meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan manakala anaknya meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM) pada 11.02 pagi.

“Tujuh lagi yang cedera adalah pasukan perubatan termasuk doktor dan pemandu van milik Jabatan Kesihatan Kelantan, Hospital Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi. – Bernama