Doktor bantah keputusan Serie A

MILAN, 14 APRIL – Seorang doktor ternama Itali yang mempunyai kepakaran dalam penyakit berjangkit berkata kelmarin dia akan menentang keputusan Serie A untuk memulakan semula musimnya bulan hadapan.

Bola sepak di seluruh negara, yang mencatatkan lebih dari 20,000 kematian disebabkan oleh pandemik koronavirus, telah ditunda sejak 9 Mac kerana wabak tersebut. Menurut laporan tempatan liga boleh dimulakan lagi pada akhir bulan depan, dengan pemain akan kembali menjalani latihan pada 4 Mei.

“Jika saya memberikan pendapat dari sudut teknikal, sejujurnya ia tidak akan menjadi pandangan yang baik. Itu sudah diperkatakan, kini ia terpulang kepada ahli politik untuk menentukannya,” kata Giovanni Rezza, ketua bahagian penyakit berjangkit di Institusi Kesihatan Kebangsaan.

“Saya ada mendengar beberapa orang mencadangkan untuk pemantauan yang lebih ketat dengan pemain diuji setiap hari. Tetapi sejujurnya ia nampak seperti suatu teori yang tidak mungkin dilakukan.

Dan kita sudah menghampiri bulan Mei. “Ia sangat jelas bahawa ahli politik akan membuat keputusan. Tetapi dengan sukan yang melibatkan kontak dan kontak itu boleh membawa risiko penularan.”

Kesatuan Bola sepak Itali (FIGC) akan mengadakan perjumpaan esok untuk membincangkan protokol perubatan ketika pemain akan kembali mengadakan latihan semula, dengan langkah perintah berkurung di negara itu dilanjutkan pada 3 Mei. “Kita akan kembali, saya harap ia akan bermula pada bulan Mei dengan ujian akan dibuat untuk memastikan pemain mempunyai keputusan negatif dan latihan boleh dimulakan,” kata presiden FIGC, Gavriele Gravina memberitahu Sky Sport pada Isnin lalu. – AFP