Doktor Belanda bebas tuduhan bunuh pesakit

THE HAGUE, 12 SEPT – Sebuah mahkamah di The Hague membebaskan seorang doktor wanita warga Belanda daripada tuduhan membunuh seorang pesakit, lapor agensi berita Xinhua.

Pendakwa raya dalam hujahnya mahu doktor yang telah bersara itu disabitkan dengan tuduhan membunuh, selain menuntut penjelasan bagaimana undang-undang euthanasia terpakai bagi pesakit yang menderita demensia.

Keputusan kes itu unik memandangkan ia kali pertama sejak pengenalan akta yang membenarkan proses membunuh diri dengan bantuan doktor atau ubat-ubatan lain – di mana euthanasia dibenarkan dengan syarat tertentu.

Pesakit Alzheimer berusia 74 tahun itu telah menandatangani borang kebenaran euthanasia, tetapi kemudian memberikan isyarat berbeza mengenai hasratnya, walaupun berulang kali memaklumkan kepada doktor yang beliau tidak sanggup lagi mahu hidup.

Dua doktor bebas kemudian mengesahkan pesakit itu mengalami kesakitan yang tidak dapat ditanggung. Selepas berunding dengan waris, doktor memutuskan untuk mengakhiri hayat wanita itu tanpa memaklumkan kepadanya kerana pesakit didapati tidak lagi berupaya menjawab.

Pendakwa raya berpendapat tindakan itu merupakan satu pembunuhan kerana doktor sepatutnya perlu berbincang dengan pesakit terlebih dahulu.

Sebaliknya, hakim memutuskan doktor itu bertindak secara sah dalam melaksanakan euthanasia. – Bernama