Doktor bergelut 52 jam bantu mangsa letupan

BEIRUT – Ia adalah malam yang telah mengubah kehidupan Dr Bassam Osman. Kira-kira pukul 6 petang pada 4 Ogos, ahli bedah berusia 27 tahun itu hendak meninggalkan hospital setelah selesai bekerja. Kemudian letupan besar menggegarkan Beirut.

Pintu pagar dibuka dan ratusan orang yang tercedera membanjiri Pusat Perubatan Universiti Amerika di Beirut, salah sebuah hospital terbaik di Lubnan.

Kakitangan perubatan kira-kira 100 orang doktor, jururawat dan pembantu perubatan mengasingkan pesakit yang diberi keutamaan dan memberikan ruang untuk membuat rawatan bagi penduduk yang tercedera. Mereka terpaksa menjahit luka pesakit menggunakan lampu telefon bimbit selepas bekalan elektrik terputus. Mereka yang tercedera terus membanjiri hospital berkenaan kerana beberapa buah hospital lain yang berdekatan dengan pelabuhan telah terputus perkhidmatan akibat letupan.

Doktor veteran yang pernah melalui perang saudara Lubnan mengatakan bahawa mereka tidak pernah menyaksikan sesuatu seperti ini. Dalam masa enam jam, mereka telah menghabiskan kesemua bekalan kecemasan untuk satu setengah tahun.

Osman akhirnya bekerja selama 52 jam secara berterusan. Dia merawat lebih dari 24 orang pesakit dan seorang darinya tidak berjaya diselamatkan.

Dr Bassam Osman terpaksa bekerja selama 52 jam secara berterusan untuk membantu mangsa yang tercedera akibat letupan besar di pelabuhan Beirut pada bulan lalu. – AP
Para pekerja berusaha membersihkan hospital yang mengalami kerosakan akibat letupan kuat yang menggegarkan bandar Beirut. – AP
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan dana sebanyak AS$30 juta untuk memperbaiki kemudahan perubatan yang musnah di Beirut. – AP

“Tidak pernah dalam hidup saya, saya merasa lebih berhubung dengan diri saya dan kemanusiaan di sekitar saya,” kata Osman mengenai 52 jam itu menerusi Twitter selepas itu.

Osman, pada permulaan kariernya, dia mendapati bidang perubatan jauh lebih berbeza dari apa yang disangkanya apabila dia menceburi bidang kerjaya ini.

Kemudahan perubatan Lubnan dahulunya dianggap sebagai yang terbaik di rantau itu. Dalam masa yang singkat, mereka hampir lumpuh, dihentam oleh kemelesetan ekonomi dan peningkatan kes koronavirus, dan kemudian berlakunya letupan besar di Beirut.

Tetapi letupan tersebut telah membuatkan Osman merasa memikul tanggungjawab yang lebih besar. Trauma pada hari itu, dia berkata, hubungan emosional di antara doktor dan pesakit, ahli politik dan institusi awam tidak boleh diharapkan kerana mereka tidak mahu mengambil tanggungjawab.

Bencana yang disebabkan oleh letupan kimia yang ditinggalkan selama bertahun-tahun di pelabuhan Beirut, telah meningkatkan kemarahan orang awam terhadap pegawai-pegawai Lubnan yang mengamalkan rasuah, yang turut dipersalahkan kerana menyebabkan negara yang mempunyai penduduk seramai lima juta itu hampir menjadi muflis. Lebih daripada 190 orang terkorban dalam letupan itu, ribuan yang lain cedera dan puluhan ribu rumah musnah.

“Hari demi hari, krisis ini menjadi kebiasaan dalam hidup kami,” kata Osman memberitahu AFP. “Kami merasa letih, ia seperti berlari maraton yang panjang.”

Dia menjangkakan hari yang lebih sukar akan mereka lalu pada masa akan datang.

Letupan itu memburukkan lagi keadaan di mana bekalan perubatan sudah berkurang disebabkan oleh krisis kewangan. Bekalan gantian tidak datang segera.

Dalam salah satu operasi pembedahan Osman baru-baru ini, kekurangan bekalan hampir menjadikan prosedur kecil tetapi kritikal menjadi pembedahan invasi. Osman dan pakar bedah yang lain tidak mempunyai ukuran balon yang sesuai untuk mengembangkan arteri pesakit dan hampir membedah dada pesakit sebelum mereka menjumpai satu kaedah yang diubahsuai untuk menggantikannya.

Kemudahan perubatan yang terjejas akibat oleh kemelesetan ekonomi menyebabkan kakitangan diberhentikan. Ramai doktor telah berpindah. Pendapatan Osman, dalam mata wang pound Lubnan, turun nilainya dari hampir AS$1,300 kepada hanya AS$200 sebulan kerana kemerosotan mata wang tempatan.

Ia akan menelan belanja hampir AS$30 juta untuk memperbaiki kemudahan perubatan yang musnah akibat letupan, menurut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Lapan buah hospital dan 20 buah klinik sebahagian atau hampir keseluruhannya musnah. Dua buah hospital masih belum dapat beroperasi. Sebuah dianggap tidak selamat sama sekali, terpaksa diruntuhkan dan dibina semula.

Letupan itu telah memusnahkan gedung utama WHO untuk bekalan perubatan, memusnahkan kapal membawa peralatan perlindungan COVID-19.

Ia turut memusnahkan pusat pengasingan diri COVID-19 yang digunakan untuk pekerja imigran dan golongan yang terdedah, dan merosakkan pusat bagi HIV dan tuberkulosis. Sistem kesihatan yang tegang menghadapi lonjakan kes koronavirus. Sejak letupan pada 4 Ogos, terdapat peningkatan sebanyak 220 peratus jangkitan yang dilaporkan, menurut Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa.- AP