Doktor hentikan rawatan lelaki koma

REIMS, Perancis, 20 Mei – Doktor Perancis hari ini mula menutup mesin sokongan hayat seorang lelaki lumpuh yang telah berada dalam keadaan koma selama satu dekad lalu, dalam kes yang amat kontroversi yang telah memecahkan Perancis, kata peguam untuk ibu bapanya.

Perbalahan mengenai nasib Vincent Lambert telah memecah keluarganya sendiri malah telah menjadi subjek ketegangan politik di Perancis sebelum pilihan raya Eropah pada hujung minggu.

Ibu bapanya, yang menentang sekeras-kerasnya untuk menamatkan hidupnya, telah berkali-kali mencabar keputusan mahkamah untuk menutup sistem tersebut. Namun doktor berkata penutupan akan bermula hari ini selepas keputusan muktamad hakim.

Jean Paillot, peguam untuk ibu bapa Lambert, berkata doktor di hospital di Reims telah mula menutup sistem pada pagi ini. “Ia amat memalukan. Mereka (ibu bapa) tidak dapat memeluk anak lelaki mereka,” beritahunya kepada AFP.

Sumber keluarga lain juga mengesahkan bahawa sistem sedang ditutup. Kumpulan peguam ibu bapa semalam bertekad akan melancarkan pelbagai cabaran guaman dalam usaha terakhir untuk menghalang sistem daripada ditutup.

Vincent Sanchez, doktor yang merawat Lambert yang telah menjadi sasaran kemarahan ibu bapa Lambert, berkata dalam satu pesanan kepada keluarganya bahawa ‘pemberhentian rawatan’ dan ‘dalam keadaan sedasi berterusan’ telah dimulakan.

Dalam pesanan yang dilihat oleh AFP, beliau menggesa semua orang ‘menyokong beliau (Vincent Lambert) supaya saat-saat terakhir adalah damai, intim dan peribadi.’

Isteri Lambert, Rachel, lima adik-beradiknya serta anak saudara Francois, semuanya telah menyokong keputusan untuk menutup sistem berkenaan. – AFP