Doktor keluarkan telefon bimbit dari perut banduan

PRISTINA, 8 SEPT – Seorang doktor bedah Kosovo berkata semalam dia berjaya mengeluarkan sebuah telefon bimbit daripada perut seorang banduan empat hari selepas dia menelan telefon berkenaan.

Lelaki berusia 33 tahun itu, dengan identitinya tidak didedahkan, dimasukkan ke klinik gastroenterologi hospital Universiti Pristina pada minggu lalu selepas mengadu sakit perut selama beberapa hari.

Doktor menyedari dia telah menelan telefon bimbit kecil dan berjaya mengeluarkannya, beritahu Skender Telaku, yang mengetuai pasukan perubatan yang menjalani prosedur itu, kepada AFP.

“Menerusi kaedah endoskopik, tanpa membedah perut, kami mengeluarkan telefon yang terbahagi kepada tiga bahagian,” beritahunya kepada AFP.

Pesakit memberitahu doktor telefon itu berada dalam perutnya selama empat hari.
Prosedur itu, yang mengambil masa lebih dua jam, dilakukan tanpa sebarang komplikasi, kata Telaku.

“Kami hanya bimbang dengan bateri kerana asid bateri mungkin terbocor dalam perutnya,” tambah beliau.

“Ia bagaikan berjalan di ladang periuk api tetapi nasib baik segala-galanya berjalan lancar.”

Masih tidak jelas bagaimana atau mengapa lelaki itu telah menelan telefon tersebut. – AFP