Doktor luang masa hulur barang keperluan

KUALA LUMPUR, 14 APRIL – Dr Nisha Thayananthan yang pernah merangkul gelaran Miss World Malaysia 2019 turut membantu golongan memerlukan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Doktor perubatan dari Hospital Putrajaya itu, memandu ke beberapa lokasi di Kuala Lumpur – dan Seremban, negeri kelahirannya – mengagihkan sumbangan seperti beras, minyak masak dan susu.

“Saya dididik dengan memberi ada lebih baik daripada menerima…terutamanya kepada golongan kurang bernasib baik. Ibu bapa saya menjadi inspirasi.

“Saya dah lama sertai misi kemanusiaan, sepanjang perjalanan ini, saya telah bertemu dengan ramai orang susah…terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya kepada Bernama .

Dr Nisha, yang juga petugas barisan hadapan di Hospital Putrajaya berkata ramai orang yang memerlukan bantuan menghubunginya sejak pandemik COVID-19 global bermula.

“Selalunya saya guna duit sendiri untuk membantu mereka dan meluangkan masa terlibat dengan kerja amal,” kata Dr Nisha, ibunya menguruskan rumah penjagaan orang-orang tua serta pusat perlindungan haiwan terbiar – kedua-duanya terletak di Petaling Jaya, Selangor. – Bernama

Dr Nisha Thayananthan merupakan petugas barisan depan yang menangani pandemik COVID-19 di Hospital Putrajaya. – Bernama