Doktor pelawa golongan anti vaksin lawat zon merah

MOSCOW, 24 NOV – Doktor terkemuka Rusia hari ini menjemput selebriti dan ahli politik bersama golongan anti vaksin untuk melawat zon merah COVID-19 di hospital dan melihat sendiri kesan pandemik.

Dalam surat terbuka yang diterbitkan oleh agensi berita negara, TASS, 11 doktor dari pelbagai bandar menulis surat kepada puluhan tokoh masyarakat yang meluahkan pandangan anti vaksin kepada ratusan ribu pengikut mereka di media sosial.

Rusia, salah sebuah negara yang paling teruk terjejas oleh pandemik koronavirus, bergelut dengan bantahan berleluasa untuk mendapatkan vaksin meskipun ia telah membangunkan suntikan mereka sendiri termasuk Sputnik V.

Walaupun rayuan berulang kali dari Presiden Vladimir Putin, hanya 37 peratus warga Rusia yang lengkap menerima vaksin dan negara itu menyaksikan lebih 1,000 kematian harian dalam beberapa minggu kebelakangan.

Dalam surat tersebut, para doktor memberitahu beberapa penyanyi, pelakon, personaliti televisyen dan ahli politik yang meluahkan keraguan mereka mengenai vaksinasi bahawa mereka akan menunjukkan golongan itu pusat rawatan COVID-19.

“Kami semua sangat sibuk, awda mungkin dapat meneka mengapa kami sibuk,” tulis surat, yang turut ditandatangani oleh doktor terkemuka Rusia, Denis Protsenko, yang menguruskan hospital utama COVID-19 di ibu kota.

“Tetapi disebabkan berapa ramai orang yang membaca dan mendengar awda, kami akan mencari masa untuk menunjukkan sekitar zon merah, unit rawatan intensif dan jabatan patologi di hospital kami,” menurut doktor-doktor.

“Mungkin dengan itu, awda akan berubah fikiran dan tidak ramai yang akan meninggal dunia,” tambahnya.

Antara salah satu surat tersebut ditujukan kepada personaliti TV, Oskar Kuchera, yang meragui keselamatan vaksin kepada hampir 300,000 pengikutnya di Instagram bulan ini. – AFP