NEW DELHI, 1 NOV – Dua lelaki yang didakwa telah menipu seorang doktor dengan menjual kepadanya lampu ajaib pada harga AS$93,000 – yang turut menjelmakan sosok jin palsu – telah ditangkap di India, kata pegawai hari ini.
Laeek Khan menghubungi polis di negeri utara Uttar Pradesh selepas menyedari lampu itu tidak mempunyai sebarang kuasa magis, seperti yang digambar dalam kisah rakyat popular tentang Aladdin dan jin yang mampu menunaikan apa jua dihajati setelah ia muncul ketika digosok.
“Penipuan itu telah melibatkan banyak perjanjian namun doktor telah membayar kira-kira tujuh juta rupees (AS$93,000),” kata Amit Rai, seorang pegawai kanan memberitahu AFP.
Menurutnya, lelaki tersebut telah ditangkap pada Khamis dan ditahan reman sebelum dakwaan difailkan.
“Isteri kepada salah seorang lelaki berkenaan juga terlibat dalam penipuan ini. Dia masih melarikan diri,” tambah Rai.
Dalam aduannya yang difailkan Ahad lalu, Khan berkata salah seorang lelaki itu berpura-pura menjadi seorang ahli silap mata dan menjelmakan ‘jin’ dari lampu tersebut, lapor media tempatan.
Tetapi apabila Khan bertanya jika dia boleh menyentuh jin itu atau membawa lampu itu pulang, mereka tidak membenarkan, mengatakan ia mungkin menyebabkannya cedera, lapor aduan itu.
Akhirnya mereka menjual lampu itu kepadanya, yang menjanjikan ia akan membawa kesihatan, kekayaan dan nasib baik. Khan menyatakan yang dia kemudian menyedari ‘jin’ itu sebenarnya hanya seorang daripada lelaki yang menyamar. – AFP