Dokumen spesies rama-rama terbesar

JARDIN, COLOMBIA – Seperti lebih 3,000 spesies rama-rama di Colombia, ahli agronomi Juan Guillermo Jaramillo menjalani metamorfosisnya sendiri beberapa tahun lalu, apabila kegemarannya terhadap fotografi alam semula jadi mengalami perubahan mendadak.

Lelaki berusia 65 tahun itu, yang biasa mengendalikan perniagaan makanan haiwan, pada mulanya mengambil gambar burung, tetapi kini dia merupakan tokoh utama dalam dunia rama-rama Colombia.

Jaramillo ialah penulis bersama inventori yang mendorong Colombia diiktiraf sebagai negara yang mempunyai spesies rama-rama paling besar di dunia.

Senarai yang diusahakannya disiarkan dalam Muzium Sejarah Asli British di London – yang mempunyai koleksi rama-rama terbesar di dunia – pada Jun lalu.

Senarai Semak Rama-rama Colombia mengenal pasti 3,642 spesies berlainan di negara Andes itu, yang menyumbang kepada 19.4 peratus daripada jenis rama-rama yang terkenal di dunia.

Gambar rama-rama diaethria clymena marchali di Jardin. – AFP
Jaramillo menyapu umpan untuk menarik rama-rama di Jardin. – AFP
Jurugambar Colombia Juan Guillmermo Jaramillo kelihatan mengambil gambar di Cueva del splendor di Jardin, Antioquia, Colombia. – AFP

Namun Jaramillo berminat untuk mengatakan bahawa dia bukan seorang pengumpul.

“Saya memecah imej tradisional yang dikaitkan dengan pengumpul rama-rama yang membunuh serangga tersebut, meletakkannya dalam sampul dan seterusnya menyematkannya dalam sebuah kotak,” beritahu Jaramillo kepada AFP.

“Saya tidak sanggup membunuh serangga itu.”

Seperti lebah, rama-rama merupakan pendebunga yang penting kepada ekosistem. Haiwan itu juga merupakan sumber makanan yang penting untuk burung dan ular.

Namun habitatnya terancam akibat pembasmian hutan, pertanian dan pemanasan global.

Jaramillo, yang tinggal di kawasan barat daya Antioquia, mempunyai arkib 220,000 gambar rama-rama dan telah merakam 1,500 spesies rama-rama berlainan. Jaramillo telah menghabiskan 15 tahun lalu menjelajah hutan dan hutang jarang dalam usaha mencari ‘permata bersayap’ – masa senggang yang berbahaya memandangkan kawasan berkenaan dipenuhi dengan kumpulan bersenjata dan penyeludup dadah.

Pemeteraian perjanjian perdamaian bersejarah pada 2016 di antara kerajaan dan gerila Angkatan Bersenjata revolusi Colombia selepas konflik bersenjata lebih setengah abad mencetuskan harapan kawasan yang sebelum ini menjadi larangan akan menjadi selamat untuk ahli sains dan naturalis.

Namun pemberontak bersenjata dan penyeludup dadah kembali semula tidak lama selepas itu.

“Saya mahu mengunjungi banyak tempat tetapi terdapat beberapa kawasan yang tidak dapat saya kunjungi disebabkan takut,” kata Jaramillo.

Apabila dia keluar, Jaramillo membawa bersamanya kamera, tripod dan bekas cecair merah muda yang disediakannya setiap pagi: umpan udang.

Setelah mencuba pelbagai jenis umpan, dia mendapati udang adalah yang terbaik.

Dia menyapu umpan yang berbau busuk di atas batu dan daun di tepi sungai, malah meletakkan bebola kapas yang direndam dalam cecair itu. “Begitulah caranya saya mendorong rama-rama memikirkan ia adalah najis burung,” jelasnya.

“Apabila rama-rama menghinggapi daun, ia akan tinggal di sana untuk masa agak lama..serangga berkenaan kelihatan seperti model,” tambahnya.

“Tanpa umpan, adalah mustahil untuk melihat spesies tertentu dalam hutan jarang disebabkan rama-rama tinggal di pokok yang amat tinggi.”

Satu lagi halangan yang mungkin timbul adalah cuaca.

“Sekiranya tidak ada cahaya matahari, tidak adanya rama-rama.”

Jaramillo pernah menjadi pemerhati burung dan juga mengumpul inventori spesies yang diperhatikannya.

Colombia mempunyai spesies burung dan orkid paling banyak, menurut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Diversiti Biologi. Minat Jaramillo terhadap rama-rama timbul apabila dia beralih daripada filem kepada fotografi digital.

“Mengambil gambar menarik burung adalah amat sukar kerana anda memerlukan kanta yang amat besar dan berat.” Sementara merakam gambar burung, dia juga mengambil gambar rama-rama dan berasa kagum dengan warna dan bentuknya.

Ia membukanya kepada dunia yang luas. Selepas kumbang, rama-rama dan kupu-kupu adalah serangga paling banyak di planet dengan hampir 160,000 spesies.

“Di Colombia, saya fikir terdapat dua kali ganda jumlah spesies rama-rama berbanding burung,” beritahu Kim Garwood, rakan penulis inventori Jaramillo, kepada AFP.

“Di kawasan Andes, saya diberitahu terdapat kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada spesies rama-ama yang tidak dicirikan. Kami mempunyai banyak gambar spesies yang tidak dicirikan.”

Berhampiran ladangnya di sebatang jalan tanpa lalu lintas, Jaramillo, yang bersara, berkata dia berada di tempat terbaik untuk mengambil gambar rama-rama apabila mata hari terbit dan udara panas pada siang hari membantu serangga tersebut tinggal di atas pokok.

Namun kerja Jaramillo tidak berakhir dengan mata hari terbenam, kerana pada waktu malam, dia mengubah kantanya menjadi kupu-kupu.

“Dengan rama-rama dan kupu-kupu, saya mempunyai kerja sepanjang hayat ini,” katanya. – AFP