Dokumen sulit dedahkan akaun pemimpin dunia

NEW YORK, 4 OKT – Beberapa ketua negara dan kerajaan, dari Jordan hingga Azerbaijan, Kenya dan Republik Czech, telah menggunakan perlindungan cukai luar pesisir untuk menyembunyikan aset yang bernilai ratusan juta dolar, menurut siasatan yang dijalankan oleh konsortium media ICIJ.

Siasatan mengenai ‘Pandora Papers’ itu – melibatkan kira-kira 600 wartawan termasuk The Washington Post, BBC dan The Guardian – berdasarkan pembocoran 11.9 juta dokumen dari 14 syarikat perkhidmatan kewangan di seluruh dunia.

Seramai 35 pemimpin sedia ada dan juga bekas pemimpin yang dinyatakan dalam dokumen terkini yang telah dianalisis oleh Konsortium Antarabangsa bagi Penyiasatan Wartawan (ICIJ) – menghadapi tuduhan termasuk rasuah, pertukaran wang haram dan pengelakan cukai global.

Di kebanyakan negara, ICIJ menekankan, ia merupakan bukan satu kesalahan untuk mempunyai aset di luar pesisir atau menggunakan syarikat yang ada untuk melakukan perniagaan merentas sempadan nasional.

Tetapi pendedahan ini merupakan perbuatan yang memalukan bagi pemimpin yang mungkin pernah berkempen secara terbuka untuk menentang pengelakan cukai dan rasuah, atau menganjurkan langkah berjimat cermat di rumah.

Gambar Raja Jordan, Raja Abdullah II ketika berbincang dengan Presiden Iraq di lapangan terbang Baghdad. – AFP

Dokumen tersebut mendedahkan bagaimana raja Jordan, Raja Abdullah II, mencipta satu rangkaian syarikat luar pesisir dan tempat perlindungan cukai untuk mengumpul empayar hartanah sebanyak AS$100 juta dari Malibu, California ke Washington dan London.

Kedutaan Jordan di Washington enggan memberikan komen, tetapi BBC memetik ungkapan peguam yang ditujukan kepada raja mengatakan, kesemua hartanah yang dibeli dengan harta peribadi, dan itu adalah amalan biasa bagi individu yang mempunyai keperibadian yang tinggi untuk membeli hartanah menerusi syarikat luar pesisir atas sebab privasi dan keselamatan.

Keluarga dan rakan sekutu Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev – yang telah lama dituduh dengan kesalahan rasuah di negara Asia tengah itu – didakwa terlibat secara sulit dalam urus niaga hartanah di Britain yang bernilai ratusan juta.

Dokumen itu juga menunjukkan bagaimana Perdana Menteri Republik Czech, Andrej Babis – yang akan berdepan dengan pilihan raya minggu ini – gagal untuk mengisytiharkan syarikat pelaburan luar pesisir yang digunakan untuk membeli sebuah rumah yang bernilai AS$22 juta di selatan Perancis.

Secara keseluruhan, ICIJ mendapati kaitan antara 1,000 syarikat di tempat perlindungan cukai luar pesisir dengan 336 ahli politik tahap tinggi dan pegawai awam, termasuk beberapa ketua negara dan kerajaan, pemimpin negara, menteri kabinet, duta besar dan lain-lain. – AFP