Kumpulan mendapat jolokan Blackpink Malaysia, Dolla, mencari empat individu yang berdepan kesempitan hidup bagi merealisasikan program amal iaitu projek Live To Give, The Giving Bank X Dolla.
Program itu adalah kerjasama Dolla yang dianggotai Tabby, Sabronzo, Angel dan Syasya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), The Giving Bank (TGB) bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.
Bagi mencari insan yang layak menerima bantuan, Dolla meminta bantuan peminat menyalurkan maklumat individu yang memerlukan dalam ruangan komen laman, Instagram (IG) rasmi Dolla.
Sabronzo berkata, projek amal itu adalah peluang terbaik membantu mereka yang sedang berdepan ujian getir akibat pandemik, sejak tahun lalu.
“Kami ingin meminta bantuan orang ramai memberikan maklumat mengenai individu yang mengalami kesempitan hidup pada era pandemik ini.

“Sejujurnya, kami gembira TGB memilih Dolla berkolaborasi dalam projek ini. Kami melihat usaha ini sangat bagus, lebih lagi dalam keadaan mencabar seperti ini.
“Diakui, kami tidak selalu mendapat peluang seperti ini, jadi dengan kesempatan ada, kami mahu menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin,” katanya kepada media.
Sabronzo berkata, ini adalah waktu yang tepat untuk Dolla menunjukkan keprihatinan terhadap keluarga yang memerlukan bantuan, sekurang-kurangnya usaha dijalankan dapat meringankan beban.
“Kami percaya platform disediakan TGB sangat bermanfaat untuk rakyat Malaysia dihimpit kesusahan,” katanya.
Projek Live to Give, The Giving Bank X Dolla adalah kempen amal bagi Dolla mempromosikan tujuan program, selain bagi mencari empat individu yang memerlukan bantuan.
Melihat situasi semasa, ditambah pula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, ia memberi impak besar dalam kehidupan masyarakat.
“Ada yang hilang punca pendapatan, tidak kurang juga terpaksa mencari alternatif lain bagi menampung kehidupan.
“Menyedari ramai tidak mempunyai informasi tepat dan tahu cara memohon sumbangan, The Giving Bank X Dolla adalah platform yang boleh membantu mereka,” katanya.
Sabronzo berkata, apa yang paling penting, masyarakat perlu bersabar dan sentiasa kuatkan diri untuk terus bertahan.
“Diakui, kita berdepan dengan keadaan kurang stabil, sejak setahun lalu. Bukan sahaja orang biasa, tetapi penggiat seni muzik juga terkesan teruk.
“Cuma, Dolla bersyukur sempat menjayakan beberapa projek. Namun, kami faham sudah semestinya mereka yang terputus punca pendapatan risau dan tertekan.
“Nasihat saya, harap semua bersabar. Semoga dengan kesabaran yang ada membolehkan kita menjalankan aktiviti seperti biasa apabila pandemik dapat diputuskan.
“Bagi peniaga, mereka boleh berniaga. Insya-Allah, kita kembali hidup seperti biasa,” katanya. – Agensi

































