Dolla raih kejayaan pertama

Pada era 1990-an industri muzik dihangatkan kehadiran kumpulan wanita sensasi seperti Feminin dan Elite yang mencipta fenomena luar biasa pada zaman itu.

Hari ini, penampilan kumpulan pop, Dolla bagaikan mengisi ‘lompong’ sejak sekian lama apabila kehadiran mereka bagai menggantikan tempat Feminin dan Elite yang pernah diburu sensasi.

Dianggotai oleh Sabronzo, Syasya, Tabby serta Angel, kumpulan Dolla yang mengangkat muzik pop ini tidak kurang hebatnya, sensasi dan kian popular biarpun baru berusia setahun jagung.

Bermula dengan kontroversi apabila dianggap jelmaan kumpulan K-Pop terkenal dunia, Blackpink.

Namun, Dolla akhirnya berjaya mengikis stigma negatif dengan membuktikan mampu berdikari tanpa menumpang populariti dan nama kumpulan wanita yang berasal dari Korea Selatan itu.

Dolla meraih kejayaan pertama apabila memenangi trofi Artis Baharu Wanita Popular, ABPBH 34 selepas dua tahun berada dalam industri muzik. – Foto NSTP

Buktinya, Dolla mengukir kecemerlangan apabila wajah dipaparkan pada papan iklan digital tersohor di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS) menerusi kempen EQUAL dijayakan September lalu.

Biarpun kerjaya seni Dolla semakin mewangi dalam industri muzik, satu perkara yang sering menjadi persoalan adakah mereka mampu bertahan lama?

Mengulas mengenainya, Sabronzo berkata, bukan mudah bagi penyanyi berkumpulan untuk kekal bersama, namun Dolla terus berusaha untuk mempertahankan keberadaan dalam industri muzik.

“Kami sedar jarang kumpulan pop wanita kekal lama. Namun, kami mempunyai misi dan impian untuk mencapai apa yang diinginkan.

“Paling penting, kami perlu mempertahankan Dolla selama mungkin agar dapat terbang lebih tinggi dan mencapai impian,” katanya kepada wartawan.

Meraih populariti mendadak, Sabronzo berkata, Dolla sudah bersedia apabila kehidupan peribadi menjadi perhatian.

“Kami sudah menjangka perkara sedemikian berlaku sejak awal Dolla ditubuhkan.

“Kami tiada masalah kerana tidak ada perkara yang ingin disorokkan daripada peminat.

“Dolla jenis ‘real’. Apa yang ditonjolkan dalam media sosial, itulah kami sebenarnya. Dolla tidak akan sorok jika ada teman lelaki. Cuma, belum ada teman istimewa lagi,” katanya.

Di sebalik kejayaan diraih secara berkumpulan, setiap anggota juga dikurniakan rezeki masing-masing.

Bagaimanapun, Tabby menjelaskan, Dolla tidak sekali-kali iri hati terhadap kejayaan anggota kumpulan.

“Pihak pengurusan, Universal Music sentiasa memberi kami peluang sama rata. Walaupun seorang lebih menyerlah, tetapi setiap kejayaan dikongsi bersama dan menjadi milik Dolla.

“Kami bersatu dalam menaikkan nama Dolla walaupun seorang ahli mendapat lebih banyak peluang.

“Kami faham setiap anggota mempunyai kekuatan berbeza. Kami bukan jenis kuat cemburu,” kata Tabby.

Siapa sangka, selepas dua tahun dalam industri seni, Dolla meraih kejayaan pertama apabila memenangi trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), Sabtu lalu.

Dolla menewaskan pesaing, Aisha Retno, Norreen Iman, Loca B dan Farisha Iris.

Menyifatkan kemenangan pertama sebagai usaha peminat, Tabby berkata, Dolla tidak akan ada menaiki pentas menerima trofi tanpa sokongan peminat. – Agensi