Dominique Da Sylva sertai TFC

KUALA NERUS, 6 DIS – Penyerang import baharu Terengganu FC (TFC), Dominique Da Sylva enggan dibayangi kehebatan Kipre Tchetche yang pernah menjadi tonggak utama pasukan itu.

Sebaliknya, pemain kelahiran Senegal berusia 30 tahun itu mahu fokus dan mencipta reputasi sendiri dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Menurut Da Sylva kehadirannya di persada bola sepak Terengganu bukan sebagai pengganti Tchetche, tetapi mencipta gaya tersendiri untuk memantapkan lagi jentera serangan skuad Penyu.

“Saya bukan datang untuk menggantikan seseorang. Saya hanya melaksanakan tugas saya dan kita lihat apa yang saya boleh lakukan untuk TFC.

“Saya telah menyaksikan banyak perlawanannya (Tchetche) sebelum ini dan beliau pemain yang bagus. Tetapi saya bukan datang untuk melakukan sesuatu yang sama dengannya,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pertama bersama TFC.

Sementara itu ketua jurulatih TFC, Mohammad Nafuzi Zain berkata beliau hanya menanti ketibaan pemain import terakhir dari benua Afrika untuk melengkapkan pasukan.

Menurut beliau kehadiran pemain tersebut diharap dapat mengukuhkan kubu pertahanan skuad Penyu bagi menghadapi saingan Liga M yang pastinya lebih mencabar tahun hadapan.

“Pemain import terakhir dijangka tiba di Kuala Lumpur Isnin ini untuk latihan serta pramusim bersama TFC. – Bernama