Penyanyi Rizky Febian menjadi salah seorang selebriti yang dipanggil bagi tujuan soal siasat berkaitan kes perjudian atas talian yang dilakukan oleh YouTuber terkenal Doni Salmanan.
Rizky hadir ke Bahagian Siasatan Siber, kelmarin sekitar pukul 2 petang waktu Indonesia.
Dia dilihat hadir bersama peguamnya, Ahmad Ramzey.
Menurut laporan Detik, Rizky telah menerima panggilan pihak berkuasa sejak Jumaat lalu dan dia sedia memberi kerjasama baik bagi menjalankan siasatan.
“Sebagai warganegara yang baik, Rizky sedia untuk datang.
“Jika dipanggil pihak polis semestinya kena hadir,” ujar Ramzey kepada media sana.
Selain Rizky, selebriti lain yang dijangka bakal hadir untuk soal siasat adalah Reza Arap, Rizky Billar dan Lesti Kejora.
Nama Rizky antara yang tersenarai kerana dikatakan dia menerima sejumlah wang dari Doni kerana melakukan cabaran di media sosial sebelum ini.
Doni yang turut digelar sebagai Crazy Rich Bandung ditahan pihak berkuasa pada 9 Mac lalu atas pertuduhan penipuan wang dan perjudian secara atas talian. – Agensi