KUALA LUMPUR, 10 Okt — Ujian doping sampel B bagi atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang gagal ujian doping sebelum ini akan dilakukan esok di New Delhi, India.
Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Sukan SEA Kuala Lumpur, Datuk Dr SS Cheema berkata dua daripada tiga atlet yang gagal ujian doping dalam saingan Sukan SEA baru-baru ini telah meminta untuk membuka sampel B.
“Seorang atlet penerjun negara (Malaysia) yang terlibat itu sudah berlepas ke India hari ini bagi menyaksikan ujian tersebut. “Seorang lagi tidak ke India tetapi memberi kebenaran untuk melakukan ujian sampel B dirinya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.
Menurut Dr Cheema, selepas mendapat keputusan ujian sampel B itu, ketiga-tiga atlet yang terbabit akan diberi kebenaran untuk sesi pendengaran.
“Pada sesi itu, atlet berkenaan akan menjelaskan bagaimana bahan terlarang itu boleh berada di dalam badan mereka dan selepas itu jawatankuasa pendengaran akan membuat keputusan seterusnya (dan) akan dihantar kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk diambil tindakan,” katanya. Dr Cheema menjelaskan, jika atlet terbabit didapati bersalah maka SEAGF akan menarik balik pingat yang dimenanginya.
“Dari segi penggantungan atlet, ia terserah kepada badan induk sukan atlet berkenaan untuk memberi hukuman penggantungan,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tunku Ja’afar mengumumkan Datuk Mumtaz Jaafar dilantik menjadi Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) pada Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan tahun hadapan. – Bernama