Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dorong belia tempatan ceburi bidang keusahawanan

    Oleh Sim Y. H. & Syahmi Hassan

     

    MMN Logo 2017BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Kementerian Pendidikan melaksanakan pelbagai program dan kursus untuk membangunkan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga di peringkat institusi pengajian tinggi.

    Usaha itu memberikan pilihan atau laluan kerjaya bagi mereka untuk menceburi bidang keusahawanan selain daripada bergantung pada pekerjaan di sektor awam atau swasta sahaja.

    Program-program keusahawanan yang dilaksanakan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi adalah selaras dengan hala tuju negara pada masa ini iaitu untuk menggalakkan belia-belia tempatan untuk menceburi bidang keusahawanan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman ketika menjawab persoalan mengenai program keusahawanan di sekolah yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin selaku Penghulu Mukim Gadong ‘A’ dan wakil dari Daerah Brunei dan Muara (Zon 4), hari ini.

    Yang Berhormat Pehin berkata bahawa kementeriannya memang sudah lama menggalakkan pembangunan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah di mana terdapat sekolah-sekolah di seluruh negara mempunyai kelab keusahawanan mereka sendiri serta sekolah-sekolah berkenaan sering mengambil bahagian dalam jualan-jualan bazar sama ada di dalam atau luar sekolah.

    Yang Berhormat Haji Tahamit.
    Yang Berhormat Haji Tahamit.

    Yang Berhormat Pehin memberikan contoh seperti dalam Program Bandarku Ceria, terdapat pihak IBTE telah mengambil bahagian di mana mereka mengadakan gerai-gerai yang menjual minuman dan makanan yang diusahakan oleh para pelajar.

    “Hampir semua sekolah di negara ini mempunyai kelab-kelab mereka sendiri di mana mereka menggalakkan hasil-hasil kerja pelajar atau sekolah itu sendiri untuk dijual,” tambahnya.

    Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa penekanan semangat keusahawanan di sekolah-sekolah berjalan dengan baik dan ia diharap akan terus diperluaskan supaya akan dapat melibatkan penyertaan daripada lebih banyak pelajar-pelajar dalam bidang keusahawanan itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda