DORTMUND, 24 Jan – Borussia Dortmund berjaya mendapatkan pemain muda berbakat besar dari Sweden, Alexander Isak biarpun menerima saingan sengit daripada Real Madrid dan juga kelab utama Eropah.
Isak yang digembar gemburkan sebagai pengganti Zlatan Ibrahimovic, berpindah dari AIK selepas beraksi 24 perlawanan bersama kelab kejuaraan Sweden itu dengan nilai dilaporkan 10 juta euro.
Selain itu, Dortmund turut melanjutkan kontrak bintang muda berusia 18 tahun dari Amerika Syarikat, Christian Pulisic sehingga tahun 2020.
Pada bulan ini, Isak muncul selaku pemain Sweden termuda yang meledak jaringan pada usia 17 tahun dan 113 hari.
Dia sebelum ini dikaitkan dengan pemindahan ke Real Madrid namun membuat keputusan untuk menyertai kelab Bundesliga itu.

Penyerang berbakat itu meledak 10 gol pada musim kemunculan pertamanya bersama AIK, tahun lalu.
“Alexander Isak seorang penyerang yang berbakat besar dan banyak kelab utama Eropah yang mahukannya,” kata pengarah sukan Borussia, Michael Zorc.
“Kami berbesar hati kerana dia memilih Borussia Dortmund. Baik BVB dan juga pemain yakin betapa pemindahan ini mempunyai potensi yang hebat.”
AIK dalam pada itu berkata, terdapat kira-kira 90 wakil kelab Eropah hadir menyaksikan permainan Isak ketika perlawanan dengan Gothenburg, Oktober tahun lalu.
Isak yang dilahirkan di pinggir bandar Stockholm kepada ibu bapa Eritrea dan masih muda, perpindahan beliau tertakluk kepada kelulusan FIFA, tetapi Borussia berkata mereka dijangka menerimanya tidak lama lagi.
Penyerang semasa Dortmund Pierre-Emerick Aubameyang telah disebut-sebut untuk meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini.
Isak menjadi penjaring gol antarabangsa termuda Sweden pada 12 Januari dalam satu perlawanan persahabatan menentang Slovakia di Emiriah Arab Bersatu.
Dia membuat penampilan antarabangsa pertama menentang Ivory Coast sebagai pemain gantian empat hari sebelum perlawanan itu. – AFP