BERLIN, 25 April – Borussia Dortmund berharap untuk menambah lagi derita Bayern Munich pada separuh akhir Piala Jerman esok bagi menamatkan impian Carlo Ancelotti untuk menjulang dua gelaran domestik.
Bayern mahu pun Dortmund sudah mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Juara-Juara minggu lalu selepas masing-masing tewas kepada Real Madrid dan Monaco dalam suku akhir tetapi akan bertemu di Arena Allianz untuk mendapatkan slot final piala di Berlin pada 27 Mei.
Bayern yang memimpin Bundesliga berharap untuk mendapat tempat separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum Real yang diterajui Cristiano Ronaldo meranapkan impian mereka.
Sebagai pampasan, Ancelotti berharap menamatkan musim pertamanya sebagai jurulatih Bayern dengan kejuaraan berganda.
Bagaimanapun, Dortmund perlu mengatasi ulangan final tahun lalu di mana Bayern menang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri tanpa jaringan di Berlin.
“Sekarang kita mahu merosakkan musim Bayern,” kata Tuchel selepas kemenangan 3-2 di Moechengladbach Sabtu lalu untuk menduduki tangga ketiga dalam liga utama Jerman.
Kemenangan itu diraih sehari selepas polis menahan seorang suspek serangan bom 11 April ke atas bas pasukan Dortmund menyebabkan pertahanan Marc Bartra memerlukan pembedahan pergelangan tangan.

“Kemenangan ini membantu pelayaran kami dan memberikan keyakinan untuk esok. Saya bangga dengan watak pasukan ini,” kata Pengarah Sukan Dortmund Michael Zorc selepas tandukan lewat Raphael Guerreiro memastikan kemenangan di Gladbach.
Ketika Dortmund meraih kemenangan moral, Bayern terpaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk selesai seri 2-2 di tempat sendiri dengan Mainz yang diancam penyingkiran.
“Sudah tentu, perlawanan menentang Real masih mengganggu kami. Kami profesional tetapi kami juga manusia,” kata kapten Bayern Thomas Mueller.
“Selain gelaran liga, mencecah final di Berlin juga matlamat terbesar kami dan kami begitu bersemangat untuk menunjukkan bahawa kami untuk berada di sana!”
Bagaimanapun, Bayern tanpa kemenangan dalam empat aksi terakhir selepas kemenangan membelasah Dortmund 4-1 dalam liga tiga minggu lalu.
Penjaring terbanyak Bayern Robert Lewandowski menjaringkan dua gol dalam kemenangan itu tetapi Dortmund mempunyai Marco Reus yang sudah kembali dan pemain sayap Jerman itu telah menjaringkan gol dalam semua tiga perlawanan selepas enam minggu diketepikan akibat kecederaan hamstring.
Reus meramalkan permainan yang berbeza apabila mereka bertemu lagi di Allianz Arena.
“Ia akan menjadi berbeza sama sekali. Saya melihat peluang kami sebagai 50-50. Kami mempunyai banyak keyakinan diri selepas kemenangan di Gladbach,” kata Reus. – AFP