BERLIN, 9 Feb – Salomon Kalou gagal menyempurnakan penalti, sekali gus memberikan tuan rumah Borussia Dortmund tempat ke suku akhir Piala Jerman ketika Hertha Berlin tewas 2-3 menerusi penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1, awal kelmarin.
Penyerang Ivory Coast itu memberikan gol pendahuluan untuk Hertha pada babak pertama pusingan ketiga berdepan Dortmund apabila dia melakukan voli pada minit ke-27 selepas tuan rumah bermula dengan perlahan.
Namun Dortmund meningkatkan permainan ketika Marco Reus menyamakan kedudukan selepas rehat, manakala jaringan Pierre-Emerick Aubameyang pula dibatalkan dan Ousmane Dembele yang memiliki peluang terbaik turut melepaskan rembatan liar.
Kedudukan terikat 1-1 selepas tamat masa perlawanan 90 minit dan Dortmund kembali memberi tekanan ketika perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
Bagaimanapun mereka menamatkan permainan dengan 10 pemain apabila pertahanan, Sokratis dibuang padang pada minit ke-119 – sejurus sebelum wisel penamat apabila mengutip kad kuning kedua.
Pada penentuan melalui sepakan penalti itu, penjaga gol Dortmund, Roman Burki menjadi wira apabila menyelamatkan sepakan penalti kedua Hertha daripada Vladimir Darida.
Dia juga berjaya menampan sepakan keempat Sami Allagui namun Burki kurang bernasib baik apabila bola bergolek melepasi garisan gol.
Dortmund mengesahkan kemenangan apabila Kalou gagal menjaringkan gol penting untuk Hertha apabila merembat tinggi melepasi palang gol. – AFP