Dortmund kekal rekod tanpa kalah

BERLIN, 16 Dis – Paco Alcacer dan Marco Reus terus mempamerkan prestasi yang baik selepas membantu Borussia Dortmund membenam Werder Bremen 2-1 sekali gus melanjutkan penguasaan di kedudukan teratas Bundesliga.

Dengan kemenangan semalam, Dortmund akan dinobat sebagai ‘Herbstmeister’ atau juara musim sejuk, anugerah yang tidak rasmi yang diberikan kepada pendahulu Bundesliga bagi separuh musim.

Dortmund sepatutnya berada di depan pada minit ketujuha selepas Alcacer berjaya membuat cubaan cantik menewaskan penjaga gol Werder Bremen namun Daby Klaasen berjaya menyelamatkan keadaan sebelum bola masuk ke garisan gol. Dan yang menakjubkan adalah, ia merupakan cubaan pertama Alcacer yang berjaya diselamatkan sejak dia menyertai Dortmund.

Tetapi penyokong Dortmund tidak menunggu lama untuk menyaksikan Alcacer meledak gol apabila pemain Sepanyol itu menanduk masuk bola selepas menerima hantaran daripada Reus sekali gus menewaskan Jiri Pavlenka pada minit ke-19.

Ia merupakan gol ke-11 pada musim ini dan kebanyakannya dijaringkan di Bundesliga.

Sementara itu, 10 minit kemudian, Reus berjaya menambah jaringan buat Dortmund selepas menerima hantaran bijak daripada Jadon Sancho dan melepaskan rembatan leret ke sudut kiri gawang. – AFP