Dortmund sukar pertahan Haaland

DORTMUND, 23 SEPT – Ketua Pegawai Eksekutif Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke mengakui kelab itu sukar untuk mempertahankan penggempur utamanya, Erling Haaland pada dua jendela perpindahan tahun hadapan.

Ketika dua gergasi bola sepak Eropah, Real Madrid dan Manchester United dikatakan sedang menunggu masa untuk mendapatkan khidmat pemain Norway itu, Dortmund tetap percaya tidak mustahil untuk mereka mengekalkan pemain itu biarpun berdepan tugas berat.

Bagaimanapun, apa yang pasti sekiranya perpindahan berkenaan menjadi kenyataan adalah ia bakal melibatkan jumlah wang yang besar tetapi Watzke yakin tiada jaminan bahawa pemain berusia 21 tahun itu berminat untuk berhijrah ke tempat baharu.

“Sudah tentu sukar untuk terus mengekalkannya. Kami akan melakukan apa sahaja untuk memastikan pemain kami terus setia bersama pasukan ini,” katanya dalam satu temubual bersama sebuah akhbar di Jerman.

Haaland terus membuktikan ketajamannya apabila meledak dua gol ketika membantu Dortmund meraih kemenangan 4-2 menentang Union Berlin sekali gus mengumpulkan 68 gol daripada 67 penampilan dalam semua aksi bersama pasukan itu.

Watzke menolak dakwaan bahawa jika Haaland berhijrah, Dortmund hampir pasti akan sukar mencari pengganti sepertinya biarpun mereka dianggap antara pasukan yang berjaya melahirkan ramai penyerang hebat seperti Robert Lewandowski dan Pierre-Emerick Aubameyang.

“Kami perlu meyakinkan diri sendiri bahawa kami mampu untuk mencari pengganti yang hampir sama dengan Haaland sekiranya dia berhijrah,” jelasnya.

Ketika ini, Dortmund turut dikatakan sedang merancang untuk mendapatkan penyerang bermasalah Chelsea, Timo Werner sebagai pengganti Haaland. – AFP