Dortmund tiada berdepan masalah tanpa Haaland

BERLIN, 27 OKT – Thorgan Hazard menjaringkan dua gol ketika juara bertahan Borussia Dortmund mara di Piala Jerman kelmarin dengan kemenangan 2-0 di gelanggang sendiri menentang Ingolstadt tanpa pemain penyerang, Erling Braut Haaland, yang diketepikan akibat kecederaan.

Pemain sayap Jerman, Julian Brandt memberikan hantaran untuk Hazard yang dimasukkan dari bangku simpanan untuk menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua di Signal Iduna Park.

Haaland terlepas permainan kerana masalah pinggul dan dengan pemain muda, Youssoufa Moukoko juga diketepikan, pemain penyerang pilihan ketiga, Steffen Tigges hanya membuat penampilan kelimanya musim ini.

Dortmund berusaha keras menentang lawan dari divisyen dua dengan pemain tengah England, Jude Bellingham, meraih peluang terbaik separuh masa pertama.

Pasukan tuan rumah melengkapkan kemenangan pusingan kedua apabila Hazard menjaringkan gol seminit selepas dimasukkan dengan melakukan percubaan dari jarak dekat.

Gol kedua tiba sembilan minit sebelum tamat apabila Hazard menyempurnakan hantaran lintang Brandt untuk meletakkan Dortmund dalam undian pada Ahad untuk pusingan ketiga dengan perlawanan akan berlangsung pada 18 atau 19 Januari. – AFP

Reaksi pemain penyerang Jerman Dortmund, Marco Reus dan pemain Dortmund meraikan bersama penyokong selepas perlawanan Piala Jerman pusingan kedua menentang FC Ingolstadt kelmarin. – AFP