Dos kedua remaja kini bermula

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun akan diteruskan lagi dengan pemberian dos kedua vaksin mulai 6 Disember.

“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan ibu bapa serta penjaga berkenaan untuk memastikan anak-anak mereka mendapat dos kedua dan membawa mereka ke pusat-pusat vaksinasi mengikut jadual yang telah ditetapkan.”

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, setiap remaja yang akan datang menerima vaksin COVID-19 di pusat-pusat vaksinasi dikehendaki untuk mengimbas kod QR BruHealth semasa proses pendaftaran oleh guru-guru sebelum memasuki pusat vaksinasi, membawa kad pintar serta kad Bru-HIMS (jika ada), membawa borang persetujuan vaksinasi, borang pemeriksaan kesihatan serta borang soalan saringan meja flu (flu desk screening question form) yang telah dilengkapkan terlebih awal dan memakai pelitup muka pada setiap masa.

Selain itu, para remaja juga perlu melakukan penjarakan fizikal, membawa payung dan air yang mencukupi dan mematuhi semua arahan petugas-petugas di pusat vaksinasi.
Setiap remaja juga perlu mengisytiharkan kepada kakitangan kesihatan di pusat-pusat vaksinasi bahawa kod BruHealth mereka adalah berwarna hijau atau kuning, tidak mengalami simptom

serupa flu, tidak dikenakan Perintah Kuarantin atau Notis Pengasingan Diri.

“Bagi mereka yang baru sembuh daripada COVID-19, mereka hendaklah memastikan tarikh vaksinasi mereka tidak kurang daripada empat minggu dari tarikh mereka telah disahkan sembuh,” tegas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.