Dos kedua secara walk-in

Oleh Syahmi Hassan & Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Bagi orang ramai yang sedang menunggu dan berhajat untuk mendapatkan vaksin dos kedua dan perjanjian mereka di pusat vaksinasi yang terlibat telah terjejas disebabkan Program Vaksinasi bagi Remaja berumur 12 hingga 17 tahun, dialu-alukan untuk hadir secara walk-in bermula hari ini ke pusat-pusat vaksinasi tertentu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini turut memaklumkan, Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup akan dibukakan secara walk-in dari pukul 5 petang hingga 10 malam, setiap Isnin hingga Khamis dan Ahad.

Manakala itu, pada Jumaat (12 November) bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 10 malam dan Sabtu (13 November) dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Pusat Vaksinasi Dewan Kemasyarakatan Belalong, Temburong, pula akan beroperasi dari pukul 8:15 hingga 11:30 pagi dan disambung dari 1:45 hingga 3:30 petang, setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

Pusat Kesihatan Sungai Liang (Belait) dan Pusat Kesihatan Lamunin (Tutong) akan bermula dari pukul 1:45 petang hingga 4 petang setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

“Oleh itu, orang ramai yang keluar rumah bagi mendapatkan suntikan vaksinasi semasa waktu Operasi Pulih dijalankan, adalah dinasihatkan untuk menunjukkan buku vaksinasi sebagai bukti kepada pihak penguat kuasa jika diperlukan,” kata Yang Berhormat Dato.

Dalam pada itu, bagi orang ramai yang telah membuat tempahan awal dos kedua di Pusat Vaksinasi Jubli Emas Bunut, perjanjian vaksinasi dos kedua mereka akan ditukar kepada Jumaat (12 November ini). Jadual perjanjian baharu akan dimaklumkan melalui pesanan ringkas SMS.

Semasa menjawab pertanyaan pada sidang media mengenai bila vaksinasi itu akan dimulakan, Yang Berhormat Dato berkata, perlaksanaan vaksinasi suntikan dos kedua secara walk-in, bermula malam ini dalam usaha untuk meningkatkan lagi peratusan pengambilan suntikan vaksin sepenuhnya dalam kalangan masyarakat di negara ini menuju ke arah fasa peralihan.

“Operasinya dilanjutkan memandangkan kita sudah mencapai 67 peratus hari ini di mana 70 peratus itu adalah dalam jangkauan. Sehubungan itu, pihak kementerian menjangkakan kita akan mencapai 70 peratus pada 19 November ini walaupun ketika ini, program vaksinasi golongan penuntut berusia 12 hingga 17 tahun sedang dilaksanakan.

“Untuk memastikan hal ini terlaksana maka sesi malam sudah mula dibukakan dan pada hari Jumaat dan Sabtu khusus untuk minggu ini juga dibukakan bermula 8 pagi hingga 10 malam,” jelasnya lagi yang turut menyatakan kesyukuran peratusan dilihat jelas meningkat daripada yang dirancang.

Dalam pada itu, beliau turut berharap kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan untuk negara mencapai matlamat berkenaan.